Sistem kerja 12 jam tambah kos penggambaran

Sistem kerja 12 jam tambah kos penggambaran

SHAHRULEZAD MOHAMEDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sistem kerja 12 jam bagi kru belakang tabir industri filem dan drama memberi tekanan kepada pengarah dan penerbit susulan peningkatan kos penggambaran meskipun langkah itu memberi kelebihan kepada kebajikan tenaga kerja.

Penerbit dan pengarah drama, Shahrulezad Mohameddin berkata, kekangan itu berpunca daripada harga jualan drama atau filem kepada stesen te­levisyen (TV) masih berada pada tahap lama.

Katanya, jurang kos dan harga belian yang tidak seimbang itu boleh menyebabkan industri drama dan perfileman menguncup dan boleh memaksa banyak syarikat penerbitan gulung tikar.

“Impak dominonya akan tetap berbalik kepada pekerja di belakang tabir dan barisan pelakon ekoran jumlah tawaran kerja yang semakin berkurangan.

“Adakah sistem kerja 12 jam ini memberi kelebihan kepada produksi kalau lihat secara terperinci? Ia memberi kelebihan kepada kru teknikal, artis dan semua pekerja di belakang kamera.

“Bagi penerbit dan pengarah? Tidak, kami tidak akan bertahan lama sebab kos akan meningkat dengan pertambahan hari penggambaran sedangkan harga pembelian masih di takuk lama,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Sebelum ini,  Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) mengadakan pertemuan dengan persatuan industri kreatif bagi membincangkan isu tempoh kerja 12 jam yang menjadi perhatian dalam kalangan penggiat industri sejak kebelakangan ini.

Mengulas lanjut, Shahrulezad tidak menolak kemungkinan para penerbit akan beralih kepada teknologi kecerdasan buatan (AI) yang lebih murah berbanding imejan janaan komputer (CGI) bagi mengurangkan kos operasi.

“Jangan lupa dengan perkembangan dunia AI yang makin lama makin canggih dan realistik. Mungkin demi menyerap kos penerbitan yang semakin meningkat ditambah pula tuntutan kerja 12 jam sehari, saya tidak terperanjat kalau penerbit mula beralih kepada teknologi AI yang semakin mudah dan murah berbanding CGI.

“Pelakon ekstra akan lenyap secara perlahan-lahan sebab demi menyerap kos yang semakin meningkat dan sekiranya stesen TV tetap tidak berganjak daripada harga pembelian lama, semua orang termasuk saya sebagai pengarah sangat boleh digantikan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×