Aza Carwash beri sinar baharu ODP jalani kehidupan lebih baik

Aza Carwash beri sinar baharu ODP jalani kehidupan lebih baik

PASANGAN suami isteri dari Aza Carwash membuka sinar baharu buat golongan ODP bekerja di Jalan Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar, Perlis. – MINGGUAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pasangan suami isteri di sini, memberi sinar baharu buat Orang DiParol (ODP) apabila sanggup mengambil golo­ngan itu bekerja bagi membantu memberi peluang kedua menjalani kehidupan lebih baik.

Bagi Mohd. Halimi Muha­mad, 39, dan Nur Fitriyana Gha­ni, 34, kisah hitam seseorang tidak sepatutnya menjadi peng­halang buat mereka berdua untuk mengambil golongan berkenaan bekerja sebagai permulaan untuk anjakan memulakan kehidupan baharu.

Melalui inisiatif itu, pasa­ngan tersebut membuka ruang buat golongan ODP selain orang kurang upaya (OKU) bekerja di pusat cucian kenderaan, Aza Carwash yang diusahakan di Jalan Stadium Tuanku Syed Putra di sini, dengan turut menyediakan beberapa kemudahan lain.

Selain membina semula kehidupan melalui peluang pekerjaan yang bukan sahaja memberi sumber pendapatan, usaha pasangan itu juga merupakan inisiatif mengembalikan semula keyakinan kepada golongan ODP tersebut untuk kembali bersama masyarakat.

SEBAHAGIAN pekerja Aza Carwash di Jalan Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar, Perlis.

Pada masa ini, pasangan ber­kenaan mempunyai lebih 30 pekerja yang bertugas di dua cawangan pusat cucian kende­raan di sekitar Kangar dan Arau di mana 23 orang daripadanya merupakan ODP, manakala selebihnya pekerja biasa termasuk dua OKU.

Mohd. Halimi berkata, dia mula mengusahakan perusaha­an tersebut sejak 2017 dan tujuannya mengambil golongan ODP untuk bekerja adalah bagi memberi peluang kedua untuk berubah di samping memiliki kehidupan lebih baik.

“Saya ambil mereka beker­ja sebab saya hendak tolong didik mereka bagi elok. Saya juga menyediakan beberapa ke­mudahan buat setiap pekerja antaranya seperti tempat tinggal, makan tiga kali sehari dan kelengkapan baju.

“Setiap pekerja juga telah diberikan skop tugas masing-ma­sing bermula seawal pukul 7 pagi sehingga 7 malam. Keba­nyakan bekerja di sini memang tunjukkan perubahan malah ada juga yang minta untuk sambung kerja di sini semula selepas tempoh parol tamat.

“Dalam masa sehari, kami menerima sekitar 60 hingga 100 buah kenderaan bergantung kepada musim dan cuaca,” kata­nya kepada Mingguan Malaysia.

MOHD. Halimi Muhamad dan Nur Fitriyana Ghani di hadapan kedai mereka di Jalan Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar, Perlis.

Halimi berkata, pada peringkat awal, dia bersama isteri bimbang sekiranya timbul masalah apabila mereka mengambil pekerja da­lam kalangan ODP memandang­kan terdapat pihak mendakwa sukar menguruskan golongan ini.

Bagaimanapun, mereka tetap nekad mengambil golongan ter­babit sebagai pekerja.

“Alhamdulillah, kebanyakan mereka dengar cakap dan dapat ikut arahan dengan baik. Ke depan nanti, saya akan teruskan lagi ambil golongan ini untuk bekerja bagi bantu mereka dapatkan masa depan lebih cerah,” katanya.

Sementara itu, Nur Fitriyana berkata, kebanyakan pekerja ODP ini tidak sukar untuk di­uruskan dan mudah mendengar arahan diberikan.

Katanya, lingkungan umur ODP yang bekerja adalah sekitar 20-an hingga 60-an.

“Kalau ODP yang muda lebih senang ikut arahan. Namun bagi yang berusia, tidak semua kerja mereka boleh buat dan ada bahagian-bahagian kerja tertentu sahaja,” katanya.

Selain ODP, Nur Fitriyana berkata, mereka turut mengambil dua pekerja OKU masalah pertuturan dan pembelajaran untuk memberi peluang mereka meraih pendapatan sendiri.

“Golongan OKU ini sebenar­nya boleh juga buat kerja tapi kalau yang ada masalah pende­ngaran, kita kenalah guna bahasa isyarat dan kami pun turut belajar,” katanya.

Dalam pada itu, salah seorang pekerja, Nur Afizainizam Haron, 50, berkata, dia telah berkhidmat di pusat cucian kenderaan itu selama kira-kira empat tahun selepas selesai menjalani ODP selama sebulan di sana.

Katanya, suasana kerja di pusat cucian itu amat baik terma­suk dengan kemudahan disediakan oleh majikan.

“Tugas saya adalah bagi me­rekodkan kenderaan masuk dan terangkan harga kepada pelanggan di samping turut memantau tugas pekerja-pekerja lain di sini,” katanya.

Seorang pekerja lain, Erman Fairul Shah Rozi, 45, berkata, dia amat bersyukur apabila diberikan peluang kedua kembali bersama masyarakat dan beker­ja bersama rakan-rakan lain.

Katanya, inisiatif diambil oleh majikannya itu membantu go­longan sepertinya berubah dan bangun semula memiliki ke­hidupan lebih baik.

“Tidak mustahil untuk orang macam kami berubah tapi kena ada majikan yang boleh kawal kami. Jadi kalau majikan elok, kami pun dapat berubah dengan elok,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×