Alif syukur terselamat dipanah petir di Siam

Alif syukur terselamat dipanah petir di Siam

MOHAMAD Alif Ezzahan Zulkifli menunjukkan video kejadian petir di Sungai Golok Thailand ketika ditemui dirumahnya di Kampung Tujoh Tumpat, Kelantan semalam. – UTUSAN/ROHANA ISMAIL.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Rakyat Malaysia, Mohamad Alif Ezzahan Zulkifli, 22, bersyukur selepas terselamat daripada dipanah petir dalam perlawanan separuh akhir Kejohanan Bola Sepak Piala FA Golok 2026 antara pasukan gabungan Thailand-Malaysia, Sam Colt dan Abu Nong Sirin yang mengorbankan seorang pemain di Sungai Golok, Thailand kelmarin.

Mohamad Alif Ezzahan ber­kata, sebaik sahaja petir itu me­nyam­bar rakan sepasukan Sofwan Awae, 24, dia terus rebah di atas padang.

Katanya, dia cuba bangun selepas itu namun gagal kerana kesan pahanan petir yang terlalu kuat.

“Saya hanya mampu melihat arwah terbujur kaku dan tidak boleh berbuat apa-apa. Ketika kejadian saya rasa seperti ada orang melanggar dari belakang sebelum terjatuh.

“Padahal itu adalah impak panahan kilat yang menyambar arwah yang berada di belakang saya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, suasana perlawanan separuh akhir itu bertukar tragedi apabila seorang pemain Yala FC maut selepas disambar petir ketika sedang beraksi di Stadium Santiphap, di sini petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang waktu tempatan itu, mangsa, Sofwan Awae, 24, yang berasal dari Daerah Waeng, Na­rathiwat, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Selain itu, seorang rakyat Malaysia, Mohamad Alif Ezzahan Zulkifli, 22, turut cedera dalam insiden tersebut.

Turut mengalami kecedera­an ialah Somchai Longmihna, 25; Sakirin Tikasom, 36; Sakariya Koleh, 38; Hamirul Cheh Asa, 32; Saranant Sathavorn, 37; Mayusaran Kaso, 31; Fatel Baka, 19; Suhaimi Rohman, 28; Anas Dulyaseree; dan Khairy Layeng.

Ketua Polis Daerah Sungai Golok, Thun Sirikhunt, berkata, siasatan awal mendapati hujan lebat beserta angin kencang melanda kawasan stadium sebelum petir menyambar di tengah padang ketika perlawanan sedang berlangsung.

Katanya, Sofwan yang beraksi bersama pasukan Abu Nong Sirin rebah akibat sambaran petir, manakala kira-kira 11 pemain lain turut mengalami kecederaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×