Kerajaan teliti cadangan levi EV biayai rangkaian pengecasan awam - Utusan Malaysia

Kerajaan teliti cadangan levi EV biayai rangkaian pengecasan awam

JOHARI Abdul Ghani (tengah) menunjukkan kad bank RHB ketika melawat pameran selepas menyampaikan ucaptama pada RHB Progress Series 2026 di The St. Regis Kuala Lumpur semalam. Turut serta Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan RHB Banking Group, Datuk Mohd Rashid Mohamad (kiri) dan Pengerusi RHB Banking Group, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir (kanan). - UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mengkaji mekanisme terbaik bagi cadangan mengenakan levi kenderaan elektrik (EV) untuk menyokong pembangunan infrastruktur pengecasan di seluruh negara.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, bagaimanapun, cadangan itu masih di peringkat perbincangan dan belum dibentangkan kepada Jemaah Menteri.

Ujarnya, antara cabaran utama ketika ini ialah kekurangan kemudahan pengecas awam, terutamanya bagi pengguna yang mendiami kediaman bertingkat seperti flat dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang mempunyai had kapasiti bekalan elektrik.

“Kalau orang beli EV tetapi kemudahan pengecas awam tidak mencukupi, akhirnya pengguna akan berdepan masalah. Oleh itu kerajaan perlu melihat isu ini daripada perspektif yang lebih menyeluruh.

“Tiada siapa yang mahu buat pengecas awam, jadi kerajaan perlu ke hadapan. Kerajaan kini dalam defisit jadi dari mana kita hendak mendapatkan dana? Jika kos dikenakan kepada pengeluar kenderaan, mereka akan pindahkan kepada pengguna.

“Sebab itu saya jelaskan dalam Dewan Negara, mahu cakap kita akan caj rakyat pun belum lagi, tetapi kita perlu lihat bagaimana mahu cari mekanisme,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama persidangan RHB Progress Series 2026 di sini, semalam.

Menurut beliau, kerajaan perlu memastikan pembangunan infrastruktur EV tidak akhirnya membebankan pengguna, memandangkan sebarang kos yang dikenakan kepada pengeluar berkemungkinan dipindahkan kepada pembeli.

Kelmarin, Johari dalam Dewan Negara menyatakan kerajaan sedang mempertibangkan mekanisme untuk mengenakan caj ke atas setiap EV yang dijual bagi mewujudkan tabung pembinaan rangkaian pengecasan awam di seluruh negara.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan cadangan berkaitan mekanisme pembiayaan pembangunan infrastruktur EV masih belum dibincangkan di peringkat Kabinet.

Beliau berkata, Malaysia masih bergantung kepada penjanaan elektrik berasaskan gas dan arang batu, justeru, pembangunan ekosistem EV perlu mengambil kira kos penyediaan tenaga serta infrastruktur yang diperlukan.

Dalam majlis sama, RHB Bank Berhad (RHB) melancarkan RHB PAY, gerbang pembayaran dalam talian bersepadu milik bank pertama di Malaysia, yang membolehkan perniagaan menerima pembayaran digital menerusi satu platform serta menerima dana secara terus ke dalam akaun RHB mereka.

Platform itu direka khusus untuk perusahaan bersaiz sederhana, perniagaan komersial, syarikat korporat serta institusi berkaitan kerajaan yang memerlukan penyelesaian penerimaan pembayaran yang lebih lancar, cekap dan mudah diskalakan mengikut keperluan perniagaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×