Penganjur tidak lagi skeptikal selepas konsert 20 Tahun Hujan - AG Coco - Utusan Malaysia

Penganjur tidak lagi skeptikal selepas konsert 20 Tahun Hujan – AG Coco

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penganjuran Konsert Hujan 20 Tahun di Stadium Hoki Bukit Jalil telah berjaya mencipta persepsi dan keyakinan terhadap kemampuan kumpulan itu untuk menarik penonton ramai untuk datang menyaksikan persembahan mereka.

Menurut composer, penulis lirik dan gitarisnya, AG Coco, selepas kejayaan konsert itu sekitar penghujung Jun lepas, semakin ramai penganjur yang menawarkan kumpulan hujan untuk membuat persembahan dengan bayaran yang mereka tetapkan.

Keadaan itu cukup berbeza dengan senario sebelumnya dimana penganjur agak skeptikal untuk membayar Hujan dengan bayaran tinggi kerana disangkakan hanya menarik sebilangan besar peminat yang sekadar meminati muzik Independen.

“Selepas konsert tempoh hari, penganjur sudah tidak teragak-agak untuk memanggil hujan dengan kadar bayaran yang setimpal.

“Dulu, Hujan ini dikatakan terlalu menjaga eksklusiviti sehingga penganjur agak kurang yakin untuk membayar bayaran yang kami.

“Namun selepas konsert di Stadium Hoki Bukit Jalil yang lalu, kami telah membuktikan kemampuan untuk menarik penonton yang ramai dan kerana itu, sekarang penganjur sudah yakin untuk membayar mengikut jumlah yang kami mahukan,” ujarnya.

Konsert Hujan 20 tahun yang diadakan 27 Jun lepas telah mencipta satu penanda aras bagi kumpulan Indie apabila dihadiri sejumlah 17,000 penonton.

AG atau nama sebenarnya Mohd Hedzry Mohd Hafidz memaklumkan mereka yang tidak menyangka kemampuan band itu untuk menarik lautan manusia, lantas awal dahulu mencadangkan konsert sekadar dilakukan di Zepp Kuala Lumpur atau Mega Star Arena.

“Ketika sebelum melakukan konsert, penganjur menyuarakan Hasrat untuk mementaskannya di Stadium Hoki Bukit Jalil.

“Kami agak skeptikal, bolehkah peminat kami memenuhkan stadium kerana lokasi yang dipilih terlalu besar. Paling tidak kami jangkakan untuk bermain di Zepp Kuala Lumpur atau Mega Star Arena.

“Tapi, siapa lagi yang nak mulakan (bermain di stadium hoki) kalau bukan kami. Jadi, kami ambil risiko untuk bermain (muzik) di lokasi yang besar.

“Akhirnya terbukti konsert itu berjaya dengan kehadiran 17,000 penonton. Ini merupakan penanda aras untuk band-band seangkatan untuk membuat persembahan di lokasi berskala besar,” katanya lagi.

Dalam masa yang sama, AG berkata harga tiket mampu milik bukan alasan kepada kumpulan Hujan untuk memberikan persembahan sambil lewa.

“Kami sudah kaji sasaran pasaran kami, kemampuan kewangan penonton kami. Kami tetapkan harga (tiket) yang bersesuaian.

“Tapi dengan tiket laku keras, tanggungjawab kami menjadi lebih berat. Kena beri persembahan yang setimpal.

“Sebab itu selain persembahan kami, kami beri gelang bercahaya, jemput artis lain menyanyi dan banyak lagi.

“Kami mahu berikan pengalaman, bukan setakat menyanyi dan pulang. Alhamdulillah sampai sekarang orang masih bercakap mengenai konsert tersebut,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×