JEMPOL: Barisan Nasional (BN) akan mewujudkan jawatan Pegawai Khas Hal Ehwal Orang Asli di Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan sekiranya diberi mandat membentuk kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, esok.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, jawatan itu penting bagi memastikan segala isu, keperluan dan kebajikan masyarakat Orang Asli dapat diselaras serta diberi perhatian secara langsung di peringkat pentadbiran kerajaan negeri.
Menurutnya, cadangan itu akan dikemukakan kepada Menteri Besar baharu daripada BN sekiranya gabungan tersebut berjaya mengambil alih pentadbiran negeri.
“Kalau saya nak tawarkan lagi, saya akan minta Menteri Besar yang baharu daripada Barisan Nasional mesti wujudkan Pegawai Khas Hal Ehwal Orang Asli di Pejabat Menteri Besar.
“Maknanya mudah sahaja, kalau kita satu hati, satu jiwa, semua boleh dibuat,” katanya ketika berucap pada Program Ramah Mesra Bersama Masyarakat Kampung Orang Asli di Kampung Orang Asli Batu Peti, Rompin, di sini hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, beberapa negeri lain seperti Pahang dan Perak telah mempunyai pegawai khas yang menguruskan hal ehwal masyarakat Orang Asli di Pejabat Menteri Besar masing-masing.
Katanya, beliau turut mencadangkan perkara sama kepada Menteri Besar Johor memandangkan negeri itu juga mempunyai populasi Orang Asli yang ramai.
“Di Pahang, Perak ada pegawai khas Orang Asli di Pejabat Menteri Besar. Di Johor, saya sudah beritahu Datuk Onn (Datuk Onn Hafiz Ghazi), saya kata kerana ramai Orang Asli di Johor.
“Jadi apa susahnya hendak dilaksanakan pegawai Orang Asli,” katanya.
Beliau berkata, pegawai khas berkenaan berperanan sebagai penghubung antara masyarakat Orang Asli dengan kerajaan negeri, termasuk mengenal pasti keperluan berkaitan pendidikan, kebajikan dan pembangunan.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid mendakwa masyarakat Orang Asli di negeri itu tidak mendapat perhatian sewajarnya sepanjang pentadbiran kerajaan negeri sejak 2018.
“Tetapi masalahnya yang daripada tahun 2018 hingga tahun 2026 ini dah jadi Menteri Besar, tak buat, tak tolong Orang Asli ini pasal apa?
“Bukan saya kata tak tolong, Orang Asli yang kata,” katanya.-UTUSAN










