SEREMBAN: Pakatan Harapan (PH) yakin parti itu akan mencapai kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan esok.
Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keyakinan itu hasil kerja keras khususnya oleh jentera parti sepanjang tempoh berkempen.
“Insya-Allah kerja sebaik mungkin, kami yakin dapat mencapai kemenangan, yang penting kita tunggu selepas itu. Biar keadaan terkawal baik, kerjasama, semua pihak,” katanya kepada pemberita selepas solat Jumaat di Masjid Kariah Paroi Jaya hari ini.
Beliau bagaimanapun tidak mengulas lanjut jumlah kerusi yang boleh dimenangi parti itu.
“Berapa kerusi, saya kena tanya Aminuddin (Datuk Seri Aminuddin Harun) dulu,” katanya.
PH bertanding di kesemua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan.-UTUSAN










