Juruterbang Malaysia ditangkap positif dadah di Indonesia - Utusan Malaysia

Juruterbang Malaysia ditangkap positif dadah di Indonesia

DADAH yang didakwa diseludup oleh seorang juruterbang warga Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Tangerang. - AFP.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Seorang juruterbang warga Malaysia yang didapati positif methamphetamine, MDMA dan kokain selepas menerbangkan sebuah pesawat penumpang ke Indonesia berdepan hukuman mati kerana didakwa menyeludup lebih 70,000 pil ekstasi di dalam bagasinya, kata pihak berkuasa pada Jumaat.

Juruterbang berusia 39 tahun itu, yang hanya dikenal pasti menerusi singkatan namanya MSO, ditahan pada Rabu di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta, sejurus tiba dari Kuala Lumpur.

Pejabat Kastam lapangan terbang itu tidak mendedahkan syarikat penerbangan tempat juruterbang tersebut bekerja.

Namun, nombor penerbangan menunjukkan ia merupakan pesawat Malaysia Airlines.

“Keputusan ujian air kencingnya didapati positif methamphetamine, MDMA dan kokain. Jadi, ketika mengendalikan penerbangan itu, dia berada di bawah pengaruh dadah,” kata pegawai Pejabat Kastam lapangan terbang, Hengky Tomuan Parlindungan Aritonang, kepada pemberita di ibu negara Indonesia.

“Apa yang membimbangkan kita semua ialah individu ini merupakan seorang juruterbang, dan ketika dia tiba, dia baru sahaja menerbangkan pesawat itu dari Kuala Lumpur ke Indonesia,” katanya.

Pegawai kastam menemui 14 bungkusan berisi pil ekstasi  melebihi 70,000 biji  di dalam bagasi juruterbang itu, selain empat gram methamphetamine yang dipercayai untuk kegunaan peribadi di dalam beg tangan miliknya.

Hengky berkata, juruterbang itu berkemungkinan tidak menjangkakan dia akan diperiksa di laluan khas kastam untuk juruterbang dan kru penerbangan tetapi  pemantauan yang pihaknya jalankan adalah sama terhadap semua orang.

Dalam keterangannya kepada penyiasat, lelaki itu mengaku ini adalah kali ketiga dia cuba menyeludup dadah, dengan dua cubaan ke Indonesia dan satu lagi di Malaysia.

Awaludin berkata, polis mengesyaki MSO merupakan sebahagian daripada sindiket pengedaran dadah antarabangsa, dan dia telah didakwa atas pertuduhan menyeludup dadah. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN