KAJANG: Seorang buruh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan memandu bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan tiga beranak maut, Rabu lalu.
Mohd. Norazlan Mohd. Tamyiz, 42, membuat pengakuan itu ketika kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Fatin Dayana Jalil.
Mengikut tiga pertuduhan, dia sebagai pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) didakwa memandu di bawah pengaruh dadah jenis methamphetamine sehingga menyebabkan kematian kepada tiga individu.
Perbuatan itu didakwa menyebabkan kematian Hafifi Rahmat, 34; Nik Aishah Asilah Nik Mohd. Zamzuri, 32, dan kanak-kanak berusia tiga tahun, Muhammad Rafie Hanzal Hafifi di Jalan Batu 17 Hulu Langat, pada pukul 7.56 pagi, 29 Julai lalu.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara antara 10 hingga 15 tahun dan denda antara RM50,000 hingga RM100,000, jika sabit kesalahan.
Tertuduh juga boleh dihukum di bawah Subseksyen (1) akta sama yang menetapkan hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama sekurang-kurangnya 10 tahun dari tarikh sabitan, atau 20 tahun bagi sabitan kali kedua dan seterusnya.
Timbalan Pendakwa Raya, Norfarhanim Abdul Halim tidak menawarkan sebarang jaminan.
Peguam bela, S. Priyalatha mewakili Mohd. Norazlan memohon agar anak guamnya diberikan jaminan rendah atas alasan berpendapatan RM1,000 sebulan bagi menyara isteri dan dua anak yang masih bersekolah.
Katanya, lelaki itu yang juga penyara tunggal keluarga turut menanggung ibu bapa yang mempunyai sakit tua dan bergantung kepada ubat-ubatan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan lapor diri di balai polis berdekatan sebulan sekali.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen pada 18 September ini.
Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan tiga beranak maut selepas motosikal ditunggang keluarga itu dilanggar seorang lelaki berumur 42 yang memandu kereta secara bertentangan arah dalam kejadian pada pukul 7.56 pagi.
Semakan polis mendapati pemandu kereta terbabit mempunyai dua rekod lampau berkaitan kes dadah selain ujian saringan didapati positif dadah jenis methamphetamine. – UTUSAN










