KUALA LUMPUR: Penyanyi, Nadeera Zaini, bersyukur setiap kali menerima pujian daripada peminat yang menyifatkan dirinya kini tampil semakin cantik.
Menurut Nadeera, 32, penampilan merupakan antara aspek penting yang perlu diberi perhatian oleh seseorang selebriti, justeru dia sentiasa menjaga pemakanan dan memastikan bentuk badannya kekal ideal.
“Alhamdulillah, saya gembira apabila ada yang menyukai penampilan saya. Sebagai penyanyi, saya perlu menjaga imej kerana peminat bukan sahaja mahu melihat kita menyanyi, tetapi juga menghargai penampilan yang menarik.
“Jadi, saya akan berusaha melakukan apa sahaja yang mampu, termasuk menjaga pemakanan dan mengamalkan diet supaya penampilan sentiasa sedap dipandang,” katanya.
Nadeera berkata demikian ketika ditemui pada sidang media pelancaran lagu Cinta Yang Di Akhir Garisan 2.0 di Istana Budaya, di sini, semalam.
Mengulas rutin penjagaan diri, juara Big Stage 2023 itu berkata, dia berusaha memastikan berat badannya tidak melebihi 45 kilogram.
“Saya tidak rasa badan saya terlalu kurus. Mungkin kerana tubuh saya kecil dan tidak tinggi, jadi orang melihat saya seolah-olah terlalu kurus.
“Kalau berat saya mencecah 45 kilogram, orang akan kata saya sudah berisi. Sebab itu saya cuba pastikan berat badan tidak sampai ke tahap itu.
“Bagaimanapun, berat badan saya masih dalam lingkungan 40 kilogram, tetapi biarlah angka sebenar itu menjadi rahsia saya,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Nadeera menjadi antara empat penyanyi yang dipilih untuk merakamkan semula lagu hit Cinta Yang Di Akhir Garisan 2.0 bersama Aisha Retno, Marsha dan Adira.
Menurut Nadeera, dia tidak berfikir panjang untuk menerima tawaran daripada komposer Ajai, malah mengakui lagu berkenaan sering menjadi pilihan ketika berkaraoke.
“Saya sangat bersyukur apabila Ajai sendiri menghubungi saya. Saya tidak sangka diberi peluang menyanyikan semula lagu ini dalam versi 2.0.
“Kalau kita lihat, lagu ini memang cukup popular dan sering menjadi pilihan ramai ketika berkaraoke. Jadi, saya amat bersyukur dapat menjadi sebahagian daripada projek ini.
“Terima kasih kepada Ajai dan Usanita Entertainment kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk terlibat dalam projek ini,” katanya.
Lagu Cinta Yang Di Akhir Garisan 2.0 yang dirakamkan dengan iringan 53 pemuzik dari Budapest dijangka menemui pendengar pada penghujung Ogos ini. -UTUSAN










