SHAH ALAM: UMNO khususnya di Selangor berprinsip dan patuh kepada hala tuju yang ditentukan oleh kepemimpinan tertingginya tanpa perlu tunduk dengan desakan-desakan daripada parti lawan.
Bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri ini, Tan Sri Noh Omar berkata, UMNO atau Barisan Nasional (BN) Selangor tidak perlu tunduk dengan desakan lawan supaya menarik sokongan terhadap kerajaan negeri.
Beliau berkata, ketika ini UMNO mempunyai hala tuju dan perjuangan yang jelas apabila sejak awal tidak menerima jawatan-jawatan dalam pihak berkuasa tempatan, syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) dan ketua kampung.
“Kepemimpinan yang ditunjukkan oleh Pengerusi (sekarang) Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin menunjukkan prinsip yang jelas, tidak mengejar jawatan dan begitu tegas memperjuangkan perjuangan UMNO,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Beliau berkata demikian menyelar desakan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr. Afif Bahardin yang mencabar BN Selangor menarik sokongannya terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan itu menyatakan demikian sekiranya benar-benar mahu menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN) bersama PAS di negeri ini.
Malah, beliau menegaskan keputusan untuk menentukan kedudukan ADUN Sungai Air Tawar, Datuk Rizam Ismail dari BN sebagai exco kerajaan negeri merupakan hak prerogatif Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.
Untuk rekod, kedudukan semasa di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, menunjukkan Amirudin merupakan ketua majlis dan Pakatan Harapan (PH) sebagai kerajaan negeri dengan menguasai 32 daripada 56 kerusi.
Justeru, desakan supaya BN menarik sokongan tidak akan menjejaskan kedudukan kerajaan negeri, malah parti itu juga meneruskan komitmen untuk menyokong Kerajaan Perpaduan sehingga DUN dibubarkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum PRU Ke-16.
Dalam pada itu, Noh yang juga bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang turut menempelak tindakan Bersatu yang didakwa memberi arahan kepada ahlinya terutama ADUN supaya tidak menghadiri perhimpunan Daulat Tuanku berhubung penutupan ladang babi di negeri ini.
“Satu perhimpunan yang dianjurkan oleh Pas di depan bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan saya cukup terharu apabila melihat pemimpin-pemimpin UMNO termasuk Megat Zulkarnain; Ketua Pemuda UMNO Selangor, Datuk Mohd. Imran Tamrin; ADUN Dusun Tua, Datuk Johan Abdul Aziz hadir bersama-sama dengan pimpinan dan ahli UMNO lain.
“Saya juga cukup rasa kecewa, apabila dimaklumkan arahan diberi oleh pemimpin Bersatu Selangor yang ahli-ahli tidak dibenarkan menyertai perhimpunan tersebut. Jadi, di mana prinsip perjuangan Bersatu? Perjuangan UMNO dengan PAS cukup jelas,” tegasnya. – UTUSAN










