PR kena kuat, jangan harap pada suara dan lagu semata-mata - Syamel - Utusan Malaysia

PR kena kuat, jangan harap pada suara dan lagu semata-mata – Syamel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

INDUSTRI hiburan, lebih-lebih lagi dunia nyanyian tempatan hari ini memperlihatkan perubahan trend yang berlaku disebabkan kewujudan persaingan semasa.

Penggiat seni tempatan hari ini bersaing, bukan sahaja dengan penggiat seni lain, malah teknologi seperti kecerdasan buatan (AI).

Penyanyi berbakat besar, Syamil mengakui perkara itu. Baginya, sekarang bukan zaman ‘mencuba nasib’ kerana adanya pelbagai platform yang mampu mempopularkan seseorang dalam masa satu minit.

“Ini semua semata-mata mahu bergelar yang paling baik. Secara peribadi, pada zaman ini bagi saya, penyanyi yang paling menonjol adalah yang paling baik jaringan perhubungannya (networking) dengan ramai orang. 

“Baik hubungan dengan media, peminat dan pihak yang bekerjasama dengan kita. Kemahiran perhubungan awam (PR) kita perlu ke depan. Sekarang bukan macam zaman dulu yang mana ada lagu yang sedap didengar, suara yang merdu memadai untuk jual seorang penyanyi. 

“Sekarang adalah zaman ‘networking’ dan kemahiran teknologi. Jika penyanyi dapat menguasai perkara itu, Insya-Allah mereka akan ke depan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam masa yang sama, Syamil tidak menolak kepentingan untuk memiliki pasukan yang bagus di belakang seorang penyanyi untuk menyokong perkembangan karier seseorang penyanyi.

“Bila kita masuk lapangan ini, kita sebenarnya tidak sekadar membawa nama sendiri. Kita perlu ada pasukan yang benar-benar bagus kerana dunia hiburan ini persaingannya ibarat ‘laut yang bergelora’.

“Sama ada kita bergerak secara independent atau dibawah label, perlu ada pasukan. Pasukan itulah yang akan fokus dan bertungkus lumus untuk menjayakan sesuatu projek.

“Contohnya kerja saya sebagai penyanyi dan pencipta lagu. Ada pula orang yang menggalas peranan itu pemasaran, iklan, imej dan sebagainya. Kita tak perlukan ramai, cukup gajikan orang-orang yang pakar,” katanya lagi.

 

PERTAMA

Bercerita tentang album, selepas 10 tahun, Syamel atau nama penuhnya Syamel Aqmal Mohd Fodzly akhirnya memiliki album sulung yang diberi nama, Pertama.

Mengandungi tujuh lagu, album yang sangat bermakna ini adalah hasil kerjasama dengan pencipta baharu dan lama seperti Edry Abdul Halim dan Aizat Amdan.

Album sulung ini merupakan cerminan kepada kecenderungan genre muzik yang dibawakan iaitu balada, sehinggakan ada peminat yang menggelarkannya ‘raja galau’.

“Setiap penyanyi mendambakan paling tidak pun sebuah album. Satu dekad pula adalah perjalanan panjang. Saya anggap memiliki album pertama selepas tempoh tersebut sebagai satu rezeki yang diturunkan tepat waktunya.

“Anehnya, saya sebelum album ini dihasilkan, tidak pernah menekan-nekan untuk menghasilkan album. Saya merasakan cukup sekadar mengeluarkan single. 

“Sehinggalah pihak Universal Music memberitahu saya yang saya perlu memiliki kerjaya seni yang ‘solid’ dan tidak sekadar menjadi bayang-bayang kepada isteri saya iaitu Ernie Zakri. Teguran itu benar-benar membuat saya berfikir panjang.

“Bertitik tolak saat itu merancang, maka lahirkan album pertama ini,” katanya.

Ditanya tentang lagu paling digemari, Syamil menyebut Cukup Sekali yang disusun dan ditulis olehnya kerana menurutnya lagu tersebut ditulis bagi menelusuri perasaan wanita yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga.

“Ramai wanita di media sosial yang mengadukan tentang kekejaman pasangan mereka. Saya tambah terkejut ada rakaman video yang menjadi bukti perkara tersebut.

“Ramai rupanya yang mengalaminya, semua ditulis di ruangan komen. Ada yang terperangkap dalam hubungan yang toksik.

“Saya ambil pengalaman-pengalaman ini untuk dijadikan sebagai inspirasi untuk menulis lagu Cukup Sekali. Amat menggembirakan saya apabila ramai yang memberikan reaksi mereka terhadap lagu ini,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN