PETALING JAYA: Usaha yang sedang digerakkan doktor kontrak bertujuan untuk membangkitkan masalah golongan terbabit meskipun perkara itu banyak kali dikemukakan kepada kepimpinan kerajaan dan menteri kesihatan yang silih bertukar.
Menerusi satu surat terbuka, seorang doktor muda memaklumkan, semua pengamal perubatan terkesan sangat memerlukan jawapan dan hasil segera kerajaan kerana usaha mereka selama ini tidak pernah membuahkan hasil.
Jelas surat itu, lebih menggusarkan apabila membaca jawapan Menteri Kesihatan. Datuk Seri Dr. Adham Baba pada 23 Jun lalu apabila hanya 3.41 peratus daripada 23,077 doktor kontrak telah dilantik secara tetap.
“Buat pengetahuan anda semua, pekerjaan sebagai seorang doktor bukanlah sama seperti seorang pegawai bank, atau seorang jurutera. Tangga karier seorang doktor hanya dapat ditingkatkan menurusi program masters ataupun menduduki peperiksaan collegiate seperti MRCS, MRCP, MRCph dan sebagainya.
“Karier kami tak dapat ditingkatkan hanya berdasarkan tempoh perkhidmatan. Tiada kelulusan tersebut, maka tiadalah pakar. Dengan sistem lantikan kontrak ini, tiada sinar harapan bagi kami untuk meneruskan perjuangan kami dalam bidang yang diingini.
“Jika ambil peperiksaan collegiate, maka bagaimana hendak bekerja sebagai pakar jika kami hanya ditawarkan pekerjaan sebagai pegawai perubatan. Jika kami yang bertugas di jabatan bedah yang memerlukan program masters bagaimana kami ingin memasukinya, jika hadiah lantikan perkhidmatan hanyalah bagi yang lantikan tetap,” katanya dalam surat itu.
Surat itu menjelaskan doktor kontrak tidak layak memohon cuti belajar dan hanya satu pilihan sahaja iaitu meletak jawatan dan mencari pekerjaan lain sambil belajar hingga menampung kos RM250,000.
Selain itu, surat itu menyatakan terdapat beberapa perkara tidak dapat dinikmati iaitu jenis cuti yang tidak diberikan kepada mereka seperti cuti menyusu buat ibu bersalin dan cuti tugas khas perkhidmatan buat mereka yang bekerja di jabatan radiologi.
Dalam pada itu, surat itu mendakwa tugas doktor kontrak yang dipikul sama sahaja dengan melibatkan portfolio di dalam jabatan namun terdapat perbezaan di tangga gaji dan juga gred.
“Perkara terakhir yang kami ingin nyatakan dalam warkah ini, adalah keselamatan pekerjaan buat kami. Bagi saya dimana kontrak lantikan saya hanya tinggal tempoh setahun lagi, apa yang mungkin saya tempuhi setelah tempoh latihan itu berakhir? Buku servis akan ditukar jika ada lantikan baharu.
“Segala penat lelah saya yang telah dihadapi selama dua tahun lalu akan dilupuskan dengan lembaran baharu buku servis. Segala pencapaian saya yang terdahulu tidak dibawa ke hadapan.
“Adakah saya perlu ke luar negara untuk mencari sesuap nasi? Perlukah saya meninggalkan ibu pertiwi ini? Tanah tumpahnya darahku,” katanya. – UTUSAN











