PETALING JAYA: Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun diminta membawa majoriti suara wakil rakyat agar sidang Parlimen disegerakan ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong, hari ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Parlimen Tanjung karang, Tan Sri Noh Omar berkata, ia adalah hasrat dari awal lagi supaya isu rakyat menghadapi pandemik Covid-19 dapat dibincangkan dengan lebih teliti.
Malah jelas beliau, ia juga tanggungjawab setiap ahli Parlimen untuk menjaga kebajikan rakyat yang kini terhimpit dengan krisis ekonomi berikutan pandemik yang berlaku.
“Saya dari dulu minta supaya Parlimen disegerakan sebab persidangan ini tidak ada kaitan dengan darurat. Nak bersidang pun kita tidak ramai mana, cuma 220 ahli Parlimen dan penjarakan fizikal boleh dibuat.
“Malah, kita semua sudah divaksin dan kawasan Parlimen pun ada pejabat ahli Parlimen sendiri. Sepatutnya Parlimen perlu bersidang terlebih dulu daripada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang telah bersetuju untuk bersidang dalam masa yang terdekat,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Kedua-dua Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Dewan Negara itu dijadual menghadap Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pukul 11 pagi ini.
Difahamkan, pertemuan itu bagi membincangkan mengenai persidangan Parlimen.
Turut membuat gesaan sama ialah ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil yang berkata, Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Dewan Negara perlu memahami kesengsaraan rakyat dan ia harus dibincangkan dalam Parlimen secara bersama.
“Saya harap speaker betul-betul faham kemahuan rakyat kerana Parlimen mesti bersidang sekarang, di mana DUN di lapan negeri juga akan buat segera mungkin. Jadi pesanan saya kepada speaker, hentikan cadangan hibrid, buat seperti apa yang terkandung dalam kenyataan Istana Negara mengenai Proklamasi Darurat, Pelan Pemulihan Negara dan masalah berkait penyebaran Covid-19,” katanya.
Sebelum ini, Al-Sultan Abdullah menzahirkan pandangan supaya persidangan Parlimen diadakan secepat mungkin.
Sementara pakar perlembagaan, Prof. Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, meskipun perjalanan persidangan Parlimen tertakluk di bawah tanggungjawab Yang Dipertua Dewan Rakyat, namun kuasanya tertakluk kepada Ketua Majlis iaitu Perdana Menteri.
“Memang benar, tatacara sepanjang persidangan Parlimen itu adalah di bawah tanggungjawab speaker Dewan Rakyat, namun penetapan tarikh serta cara pelaksanaannya adalah ditentukan ketua majlis sendiri atau Perdana Menteri sendiri. Jadi saya membaca perkara ini yang akan dibincang ketika menghadap Seri Paduka.
“Speaker juga akan zahirkan isu tentang prosedur operasi standard (SOP) dan sudah pasti isu yang paling penting, kalau bersemuka, apakah cara yang terbaik. Kalau hibrid pun apa cara yang terbaik. Cuma bila hibrid ini ia memerlukan pindaan yang perlu dibuat supaya membolehkan Parlimen bersidang. Perkara itu memerlukan 26 ahli Parlimen supaya ia diluluskan,” ujarnya. – UTUSAN











