Dr. Nabulsi tekankan tadabbur al-Quran - Utusan Malaysia

Dr. Nabulsi tekankan tadabbur al-Quran

Kitab Tafsir Nabulsi sebanyak 10 jilid.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Islam terhijab dengan orang Islam. Jika kamu lakukan keburukan kepada bukan Islam sebenarnya kamu telah lakukan keburukan kepada umat Islam dan keburukan tersebut sampai juga kepada agama Islam. Sepatutnya setiap muslim mesti menganggap dirinya sebagai duta umat Islam”.

Kata-kata hikmah tersebut keluar daripada tokoh yang amat suka tadabbur ayat-ayat Allah dan sabda Nabi SAW. Beliau adalah Dr. Muhammad Ratib al-Nabulsi.

Dilahirkan pada 29 Januari 1939 di Syria. Beliau adalah seorang pendakwah yang masyhur dan banyak menyampaikan pengajaran dalam bentuk kuliah, forum yang berkaitan ‘Ijaz sains, tafsir dan ilmu berkaitan.

Mendapat pendidikan awal dan menengah di Damsyik, Syria. Berjaya mendapat sarjana muda dalam bidang adab Bahasa Arab dan ulum di Universiti Damsyik. Kemudian menyambung pengajian peringkat sarjana dan pada 1999 beliau memperolehi Ph.D dalam bidang Pendidikan di Universiti Dublin, Ireland.

Hubungannya dengan Sheikh Ali al-Sabuni amat rapat. Dalam satu penulisannya beliau menyatakan: “Banyak kali aku berjumpa dengan tokoh tafsir yang mulia, Sheikh Muhammad Ali al-Sabuni.

Terakhirnya adalah di Turki sebelum beberapa bulan beliau meninggal dunia. Kalam yang aku ucap semasa berjumpa dengan Sheikh al-Sabuni ialah ada ulama yang menjadi penulis hati dan ada ulama yang menulis buku.

“Menulis hati sebenarnya lebih dalam kesan dan lebih lama tempohnya. Kemudian aku berkata sesungguhnya kamu wahai Sheikh telah mengumpul kedua-duanya. Kamu menulis buku dan kamu juga menulis hati”.

Beliau memuji Sheikh al-Sabuni dengan menyatakan: “Sheikh Sabuni adalah seorang yang amat halus jiwanya. Jika ia bercakap tentang Allah, al-Quran, bercakap tentang Rasulullah SAW kamu akan dapati air matanya mengalir.

“Beliau mempunyai ramai pelajar ilmu yang terkesan dengan kalimah dan tingkah lakunya. Beliau juga adalah orang yang banyak mempunyai penulisan yang amat bermanfaat dan perlu ada dalam simpanan penuntut ilmu di timur atau di barat”.

DR. MUHAMMAD RATIB AL-NABULSI

 

KAEDAH TAFSIR

Di permulaan kitab tafsirnya, Dr. Nabulsi menulis kata-kata yang menuntut supaya kita berfikir dan lakukan tadabbur terhadap ayat al-Quran.

Beliau berkata: “Al-Quran al-Karim adalah kalam Allah, melaluinya kita mengenali Allah dengan cara tadabbur. Langit dan bumi adalah ciptaan Allah, melaluinya kita mengenali Allah dengan cara tafakur. Semua kejadian adalah Allah jadikan, melaluinya kita akan mengenali Allah melalui cara pemandangan dan berfikir”.

“Allah SWT telah mengurniakan kepadaku untuk menyampaikan pengajaran keseluruhan tafsir al-Quran di Masjid al-Nabulsi selama 40 tahun. Aku namakan kitab tersebut Tadabbur ayat Allah fi al-Nafs wa al-kaun wa al-Hayah kerana aku amat yakin bahawa setiap orang mestilah tadabbur ayat-ayat Allah yang berbentuk alam, kejadian dan al-Quran itu sendiri,” katanya.

Keutamaan dalam menafsir al-Quran, Dr. Nabulsi cuba menekankan perkara realiti yang berlaku semasa turun sesuatu ayat. Beliau berusaha mengaitkan makna ayat al-Quran itu dengan realiti umat Islam masa kini.

Asas kepada perkara tersebut kerana al-Quran adalah manhaj kehidupan dan sebahagian ayat yang diturunkan ada hubungan yang kuat dengan sebab ayat yang diturunkan atau peristiwa tertentu.

Namun ia bukan bermaksud ayat tersebut hanya terikat dengan sebab ia diturunkan kerana kaedah menyatakan “pengajaran adalah dengan umum lafaz bukan dengan sebab yang khusus.”

Kaedah tafsir Nabulsi juga memberi perhatian kepada ayat yang ada kaitan dengan kejadian manusia dan kejadian alam. Bilangan ayat berkaitan perkara tersebut hampir kepada 1,000 ayat.

Beliau cuba menafsirkan ayat tersebut secara sains kerana beliau berpandangan, berfikir mempunyai pintu yang luas tetapi ia adalah jalan yang singkat untuk sampai kepada Allah. Ini kerana ia memberi gambaran secara berdepan tentang kebesaran Allah.

Ayat berkaitan kisah, dihurai secara realiti sama ada yang berkaitan tarikh atau realiti semasa. Beliau juga membawa analogi dalam menghurai makna ayat al-Quran sehingga menampakkan kisah tersebut adalah hakiki bersama dalil.

Analogi berperanan mengukuhkan lagi untuk minda memahaminya. Kisah dan analogi adalah dua uslub al-Quran yang amat jelas digunakan dalam kitab suci itu.

Dalam kitabnya Nazarat Fi al-Islam, beliau menyatakan Nabi SAW adalah seorang yang maksum dengan maksud terpelihara dari sebarang kesalahan tetapi umatnya maksum dalam bentuk berjamaah dengan maksud jika sesuatu keputusan dilakukan secara berjamaah maka keputusan yang diambil adalah betul.

Beliau mengharapkan semua pendakwah bersikap membantu satu sama lain, menghargai kelebihan sahabat pendakwah yang lain dan tidak bertelingkah. Semua pendakwah adalah pelengkap antara satu sama lain.

Mereka memberi sumbangan kepada masyarakat dan jangan sekali merendahkan atau mencaci pendakwah yang lain walaupun sebahagian mereka mempunyai pandangan yang berbeza dalam perkara cabang dan gaya uslub. Sepatutnya mereka wajib menolong antara satu sama lain dengan apa yang mereka setuju dan bertolak ansur dalam perkara yang mereka khilaf.

Dalam tafsir ayat terakhir surah al-Fatihah yang membicarakan berkaitan golongan yang sesat dan golongan yang dimurkai Allah, Dr. Nabulsi membawa kisah seorang lelaki yang mendapatkan nasihat daripada Ibrahim Ibn Adham iaitu seorang tokoh sufi meminta izin melakukan maksiat.

Ibrahim Ibn Adham menjawab, boleh kamu lakukan maksiat jika kamu dapat sempurnakan lima perkara berikut.

Pertama: “Kamu jangan makan rezeki yang Allah kurniakan”. Lelaki tersebut menjawab, “Semua rezeki datang daripada Allah, rezeki mana yang aku hendak makan?”.

Kedua: “Jika kamu hendak lakukan maksiat, kamu jangan tinggal di bumi milik Allah”. Lelaki itu menjawab, “Kalau begitu bumi mana lagi yang aku dapat tinggal? Semuanya milik Allah”.

Ketiga: “Jika kamu mahu lakukan maksiat carilah satu tempat yang Allah tidak melihat dan lakukan maksiat di tempat tersebut” lelaki itu menjawab, “mana mungkin Allah tidak melihat kepada ku sedangkan Dia adalah Tuhan sekalian alam”.

Keempat: “Jika Malaikat Maut datang hendak mencabut nyawa kamu maka katakanlah kepadanya berilah peluang kepadaku untuk bertaubat dan melakukan amal soleh”.

Kelima: “Jika pada hari kiamat malaikat Zabaniah datang untuk membawa kamu ke neraka maka katakanlah aku tidak mahu pergi bersama mu”. Akhirnya lelaki tersebut berkata, “cukuplah cukuplah, aku beristighfar kepada Allah dan aku bertaubat kepada-Nya”.

Kesimpulannya, jika membaca Tafsir Nabulsi kita seakan berada di hadapan beliau yang menghuraikan satu persatu ayat al-Quran. Kebanyakan tafsirnya dibuat dalam bentuk ayat syarahan dan kupasannya sampai ke hujung serta sangat terkesan kepada jiwa.

  • Prof. Madya Dr. Khairul Anuar Mohamad, Pensyarah Jabatan Quran dan Sunnah, USIM.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×