Sukan SEA 2027 tambah lima sukan

Sukan SEA 2027 tambah lima sukan

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MASOC, Abdul Rashid Yaakub (tengah) dalam sidang media selepas menghadiri Mesyuarat SEAGF Kedua di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Majlis Persekutuan Sukan Asia Tenggara (SEAGF) hari ini meluluskan penambahan lima sukan bagi Sukan SEA 2027 menjadikan jumlah keseluruhan 43 sukan.

Lima sukan tersebut adalah dance sport, hoki ais, kabaddi, padel dan teqball.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sekretariat Penganjur Sukan SEA Malaysia (MASOC), Abdul Rashid Yaakub berkata, keputusan penambahan lima sukan tersebut adalah muktamad selepas mendapat kelulusan Majlis SEAGF.

“Sebenarnya tidak banyak lagi yang perlu ditambah. Perkara utamanya ialah penambahan lima sukan ini adalah muktamad. Jika mahu tambah lagi, kami perlu mengadakan mesyuarat lain dan mesyuarat hari ini adalah yang terakhir untuk SEAGF meluluskan bilangan sukan,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat SEAGF Kedua di sini hari ini.

Mengulas mengenai sasaran pencapaian kontinjen negara, Abdul Rashid berkata, perkara itu akan diperincikan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) yang bertanggungjawab menetapkan sasaran pingat.

“Pastinya Majlis Sukan Negara (MSN) yang akan meneliti perkara ini. Mereka akan memeriksa secara lebih terperinci bagaimana sasaran pingat itu hendak ditetapkan.

“Bagi pihak kami di MASOC, tugas kami adalah untuk menganjurkan sukan tersebut dengan sebaik mungkin. Namun, dari segi sasaran prestasi, kita serahkan kepada pihak MSN.

“Walaupun kami sudah ada beberapa perbincangan awal dengan MSN, ketetapan rasmi biarlah datang daripada pihak mereka sendiri. Mungkin ketetapan itu akan diumumkan apabila tarikh temasya semakin hampir pada tahun hadapan,” katanya.

Selain itu, MASOC turut mencadangkan penambahan Chinlone sebagai disiplin di bawah sukan sepak takraw serta polo sebagai disiplin di bawah sukan ekuestrian.

Kedua-dua cadangan itu telah disahkan oleh Majlis SEAGF dan menjadi sebahagian daripada keputusan muktamad bagi program pertandingan Sukan SEA 2027.

Perincian senarai disiplin dan acara sukan akan diumumkan oleh MASOC pada September ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×