PETALING JAYA: Kira-kira 200 penuntut jurusan perubatan Malaysia di tujuh buah universiti di Mesir terkesan ekoran ketetapan baharu dikeluarkan Majlis Perubatan Malaysia (MPM) berhubung kelayakan kelulusan mereka.
Kesemua mereka sebelum ini menggunakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk mengikuti pengajian perubatan di Mesir.
Bagaimanapun, mengikut peraturan baharu, MPM menetapkan penuntut jurusan perubatan negara ini diwajibkan sekurang-kurangnya mesti daripada lepasan matrikulasi atau asasi atau pra-universiti atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau A-Level atau lain-lain peperiksaan yang setara dengannya.
Perubahan tersebut dibuat ekoran universiti-universiti di Mesir memendekkan tempoh pengajian daripada enam ke lima tahun.
Jumlah 200 orang itu melibatkan pelajar tahun tiga daripada kemasukan 2018 dan 2019 dan sebelumnya. Kesemua mereka terlibat dengan perubahan sistem serta silibus baharu yang dilakukan universiti-universiti di negara berkenaan.
Buat masa ini, keseluruhan pelajar perubatan Malaysia di Mesir adalah seramai 900 orang.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Presiden Persatuan Pelajar-Pelajar Sains Kesihatan Malaysia-Mesir (Perubatan), Ahmad Muazz Abdullah berkata, tidak dinafikan tujuh universiti di Mesir mengurangkan tempoh pengajian daripada enam tahun kepada lima tahun membabitkan pelajar pengambilan sesi 2018/2019 dan ke bawah.
Justeru, menurut beliau, pihaknya bimbang dengan keputusan MPM semalam sekali gus menyebabkan mereka dijangka tidak dapat meneruskan karier sebagai pengamal perubatan atau doktor sebaik pulang ke tanah air.
“Kami pernah membangkitkan isu sistem lima tahun itu ketika mengadakan kunjungan hormat ke atas MPM sebelum ini tetapi belum nampak jalan penyelesaian berhubung masalah ini.
“Namun hubungan baik dengan Education Malaysia Egypt membantu kami untuk sentiasa mendapat maklum balas berkaitan perkara ini. Selain itu, kami berharap Kementerian Pengajian Tinggi dapat memberikan solusi tuntas setelah aduan rasmi dibuat sebelum ini,” katanya ketika dihubungi semalam.
Khamis lalu, Presiden MPM, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah memaklumkan mereka yang ingin melanjutkan pengajian dalam jurusan perubatan di tujuh universiti di Mesir wajib memenuhi syarat kelayakan minimum kemasukan ditetapkan Kerajaan Malaysia bagi mengelakkan masalah pengiktirafan pengamal perubatan di negara ini.
Menurut Dr. Noor Hisham yang juga Ketua Pengarah Kesihatan, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat MPM ke-407 bertarikh 22 Jun lalu selepas menerima pemakluman berhubung pengurangan tempoh pengajian dari enam tahun kepada lima tahun di tujuh universiti di Mesir.
Tujuh universiti tersebut ialah Universiti Iskandariah, Universiti Ain Shams, Universiti Cairo, Universiti Tanta, Universiti Mansoura, Universiti Zagazig dan Universiti Al-Azhar.
Dalam pada itu, Setiausaha Majlis Perundingan Mahasiswa Mesir, Muhammad Nasrullah Shahzman memaklumkan, pihaknya masih dalam perbincangan berhubung masalah berbangkit itu dan akan membawa perkara berkenaan kepada Education Malaysian Egypt bulan depan.
“Kita cuba sedaya-upaya membantu menyelesaikan masalah ini dengan segera,” katanya.
Menurut beliau, buat masa ini terdapat 8,356 pelajar Malaysia termasuk jurusan perubatan yang berdaftar di bawah Education Malaysian Egypt.
Sementara itu, pelajar jurusan perubatan di Universiti Alexandria di Mesir, Aiman Nizar berkata, peluang yang terhad di negara sendiri dan yuran pengajian rendah menjadi faktor universiti di Mesir menjadi pilihan ramai pelajar perubatan..
Katanya, anggaran yuran pengajian keseluruhan di Mesir tidak termasuk perbelanjaan lain adalah RM192,000.
Menurutnya, meskipun membiayai sendiri yuran pengajian, kos pengajian di negara itu jauh lebih rendah sekitar RM20,000 hingga RM30,000 berbanding institusi pengajian tinggi swasta negara ini sekali gus menjadi sebab utama pemilihan belajar di Mesir.
Namun baginya sendiri, dia memilih Mesir kerana terpilih untuk memasuki Universiti Alexandria yang merupakan antara universiti terbaik di dunia dan kos sara hidup di negara itu tidak terlalu tinggi.
“Selain itu, saya mahir berbahasa Arab serta bahasa Inggeris yang mungkin menjadi kelebihan kepada saya sebaik bergelar doktor nanti.
“Memandangkan saya tanggung pengajian sendiri, sebab itu saya pilih Mesir kerana yuran pengajian yang sedikit rendah berbanding di Malaysia dan kos sara hidup di sini yang tidak terlalu tinggi,” katanya. – UTUSAN











