Perangkap AS di Asia, Indo-Pasifik

Perangkap AS di Asia, Indo-Pasifik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DIALOG Shangri-La di Singapura pada bulan Mei lalu menegaskan perubahan baharu dalam perkiraan kuasa dan niat strategik di rantau ini, dengan pelbagai mesej dan naratif disampaikan bagi memperkukuh komitmen, di samping menegaskan garis panduan, batas kawalan dan garis merah yang terus dipertahankan.

Fahaman baharu mengenai kuasa dan kewaspadaan ini telah menyaksikan rantau ini berusaha mencari jaminan keselamatan dan mekanisme kawalan yang lebih jelas.

Mesej yang disampaikan oleh Amerika Syarikat (AS) melalui ucapan Setiausaha Perang AS, Pete Hegseth adalah terancang dan membawa kesan strategik yang besar: AS tidak akan berundur daripada Indo-Pasifik, tetapi ia juga tidak lagi bersedia memikul beban keselamatan rantau ini secara bersendirian.

Ini memperkukuh kesedaran baharu dalam kalangan negara serantau bahawa untuk terus menerima payung keselamatan dan cegah rintang daripada Washington, era model lama perlindungan AS, di mana banyak negara serantau menikmati manfaat ini sambil hanya menyumbang kekuatan ketenteraan yang terhad, kini telah berakhir.

AS mahukan satu rangkaian yang lebih berdisiplin dan lebih berwibawa dari segi ketenteraan, yang mampu membantu mengekalkan keseimbangan kuasa dan kapasiti cegah rintang berkesan, sambil cuba meyakinkan semula rantau yang semakin berhati-hati dan gusar terhadap komitmen masa depan pentadbiran Trump ketika ia cuba untuk memperkemas semula hubungan dengan Beijing.

Banyak pihak di rantau ini telah membuat andaian sama ada pendekatan pentadbiran Trump terhadap China, dari segi perdagangan dan percubaan untuk memperbaiki semula pertalian dengan Beijing akan melemahkan tekad AS di Asia.

Kehadiran dan kenyataan AS di Singapura dirangka untuk menjawab keraguan tersebut, dengan mesej asas bahawa AS kekal komited, tetapi komitmen itu akan menjadi lebih seimbang dan saling menguntungkan dan bukan lagi terperangkap dengan beban takuk lama.

Asia, Indo-Pasifik

Mesej simbolik dan tegas yang dihantar ialah walaupun terdapat tekanan dan gangguan di Eropah, Hemisfera Barat dan Asia Barat, Washington terus melihat Asia dan Indo Pasifik sebagai rantau di mana persaingan kuasa masa depan dan keseimbangan kuasa global akan menjadi pertaruhan dan medan penentu.

Ini akan menjadi lebih signifikan khususnya dalam era pasca Trump, apabila unsur dan kredibiliti cegah rintang dan unjuran kuasa mungkin tidak lagi sama seperti garis masa semasa, yang akan mencetus situasi di mana kuasa-kuasa lain turut mencari dominasi dan percaturan kuasa masing-masing.

Mesej kedua AS di dialog tersebut ialah kapasiti cegah rintang mesti dibina semula bukan melalui kata-kata dan retorik semata-mata, tetapi melalui keupayaan cegah rintang.

Ini dilihat sebagai strategi untuk menyukarkan mana-mana kuasa mencapai kejayaan ketenteraan yang pantas, khususnya di kawasan pertikaian dan zon strategik termasuk First Island Chain, Laut China Timur dan Laut China Selatan.

Dari segi praktikal, ini pada asasnya bermaksud strategi ketenteraan yang lebih bersasar, melalui penempatan yang lebih tersebar, aturan akses yang lebih kukuh, pangkalan yang lebih berdaya tahan, rangkaian logistik yang lebih mendalam, kesedaran domain maritim yang lebih kuat, serta operasi bersama yang lebih bersepadu dengan sekutu dan rakan kongsi.

Kandungan strategiknya jelas dan mesej yang cuba disampaikan adalah: AS tidak akan membenarkan satu kuasa tunggal mengenakan hegemoni serantau atau mendominasi aturan maritim Asia.

Mesej ketiga ialah sekutu dan pelaku lain di rantau ini kini akan dinilai berdasarkan keupayaan dan kesediaan untuk berkongsi beban serta tanggungjawab, bukannya sentimen.

Model perkongsian secara bertingkat semakin menjadi realiti, dengan keutamaan diberikan kepada pemain yang lebih komited dan lebih bersepadu dengan keseluruhan sistem AS. Dalam erti kata lain, mekanisme konvensional lampau yang bersifat kebergantungan keselamatan atau geopolitik sehala tidak lagi akan berfungsi dengan baik.

Negara-negara yang bergantung kepada sokongan keselamatan AS sambil mengelak daripada komitmen pertahanan yang serius kini dijangka akan meningkatkan komitmen dan perbelanjaan ketenteraan dan jika tiada peningkatan komitmen, mereka akan dilayan dengan prioriti yang lebih merudum dalam perancangan strategik Washington.

Situasi ini mungkin bukan satu kerumitan berisiko tinggi bagi sekutu sedia ada seperti Jepun, Korea Selatan dan Filipina, yang sudah pun meningkatkan komitmen pertahanan masing-masing, tetapi ia akan membawa kesan besar kepada negara-negara di Asia Tenggara yang masih kurang bersedia dalam tahap komitmen tersebut dalam pertahanan dan terus terperangkap dalam permainan strategic hedging serta kewaspadaan dalam tindak balas dan konsep berkecuali.

AS setakat ini tidak menuntut penjajaran pakatan rasmi daripada setiap negara ASEAN, namun negara-negara ini tetap dijangka memperkukuh keselamatan maritim, keupayaan pengawal pantai, daya tahan siber, kesedaran domain bawah laut dan kerjasama industri pertahanan.

Walaupun mereka terus menggunakan bahasa berkecuali atau tidak berpihak, mereka turut sedar dengan realiti bahawa keselamatan serantau semakin bersifat operasi dan taktikal, semakin bersifat teknologikal dan semakin dipacu oleh keupayaan hard power.

Mesej AS ialah negara-negara yang mahukan keseimbangan kuasa yang stabil dan cegah rintang yang berwibawa harus membantu membina asas material kepada keseimbangan tersebut, termasuk kapal, radar, dron, komunikasi selamat, latihan bersama dan kesiapsiagaan pertahanan.

Autonomi Serantau
Satu lagi mesej strategik ialah ekonomi, teknologi dan pertahanan kini telah besepadu, serta semakin saling bergantung berbanding sebelumnya.

Keselamatan serantau bukan lagi hanya mengenai pangkalan tentera atau penempatan tentera laut, tetapi juga mengenai rantaian bekalan, pengeluaran output dan aset pertahanan, semikonduktor, keselamatan tenaga, mineral kritikal, kabel dasar laut, sistem siber dan sektor-sektor baharu berkaitan yang saling terjalin.

Peperangan dasar laut kini semakin mendapat kepentingan yang lebih besar dan strategik dan negara-negara sedang berlumba untuk mendapatkan perlindungan serta kelebihan yang lebih mendalam, daripada memastikan keselamatan kabel dasar laut yang membawa sebahagian besar trafik data global, sehinggalah kepada peperangan kapal selam. Dominasi dasar laut sedang menjadi ruang strategik yang dipertandingkan dan menjadi jajaran medan konflik seterusnya.

Selat Melaka, Selat Singapura, Laut China Selatan dan rangkaian dasar laut di sekitarnya bukan sekadar laluan komersial, tetapi kini merupakan nadi strategik yang berada di persimpangan kepentingan keselamatan dan perdagangan global.

Nada keseluruhan yang dikemukakan oleh AS dalam dialog tersebut ialah AS bersedia untuk berbincang dengan China, tetapi dari kedudukan yang kuat, sekali gus memberi isyarat strategik yang penting.

Ucapan Hegseth tidak menutup pintu kepada penglibatan AS-China, tetapi ia mencerminkan nada yang lebih lembut berbanding tahun sebelumnya, sebagai isyarat bahawa Washington mahu mengurangkan risiko salah percaturan dan mengekalkan komunikasi ketenteraan antara kedua-dua pihak.

Negara-negara ASEAN akan terus berdepan tindakan pengimbangan yang lebih sukar, mereka memerlukan kuasa AS untuk kekal, tetapi pada masa yang sama mahu mengelak daripada dilihat sebagai alat kepada strategi pembendungan China oleh AS.

Mereka mahukan pasaran China, tetapi bimbang terhadap tekanan dan risiko konflik dengan China di zon pertikaian. Mereka mahukan autonomi, tetapi autonomi tanpa keupayaan akan menjadi kelemahan berstruktur.

Mesej dan percaturan AS ini justeru mendedahkan dilema utama ASEAN, iaitu mekanisme ASEAN centrality kekal sebagai platform diplomatik, tetapi ia tidak mencukupi sebagai perisai keselamatan.

Jika ASEAN tidak mampu membina keupayaan sebenar dan cegah rintang dalam keselamatan maritim, pertahanan siber, perlindungan infrastruktur dasar laut dan penyelarasan krisis, maka struktur minilateral dan sokongan luaran akan terus dilihat sebagai platform mitigasi yang diperlukan, dan ASEAN akan terus perlu bergantung kepada sokongan luar.

Mesej utama AS di dialog tersebut ialah payung keselamatan AS akan kekal di Indo Pasifik, tetapi dengan syarat baharu. Ia akan terus menjadi pengimbang ketenteraan utama, tetapi ia menjangkakan sekutu dan rakan kongsi kini akan menjadi penyumbang yang serius.

Pada masa sama, Washington sedar bahawa peranan yang dimainkan oleh sekutu sedia ada, khususnya Jepun, Korea Selatan dan Filipina, akan menjadi lebih penting berbanding negara-negara lain di rantau ini yang masih was-was, khususnya dalam kelebihan sekutu ini terutamanya Tokyo dan Seoul dalam menyediakan mekanisme tindak balas keseluruhan yang lebih langsung, pantas dan boleh diharapkan ketika berlaku konflik atau krisis di rantau ini.

Negara-negara sekutu ini juga akan berfungsi sebagai perisai pertama outer layer deterrence, dengan bergantung pada kelebihan geografi, infrastruktur dan kelebihan masa tindak balas kritikal yang mereka miliki sebagai perisai tambahan kepada strategi keseluruhan AS di rantau ini. – UTUSAN

COLLINS Chong Yew Keat ialah Penganalisis Strategi, Keselamatan dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Malaya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×