Media sosial lubuk NGO kutip derma

Media sosial lubuk NGO kutip derma

YUHAFIZ MOHD. SALLEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sesetengah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menjadikan media sosial sebagai lubuk untuk mereka me­ngu­tip derma daripada orang ramai.

Ketiadaan undang-undang khusus me­ngawal selia pertubuhan itu juga mem­burukkan lagi keadaan dan menjadi cabaran besar kepada pihak berkuasa.

Keadaan itu bukan hanya membuka ruang kepada tindakan penyelewe­ngan malah menghakis kepercayaan ma­sya­rakat terhadap organisasi kebajikan yang benar-benar menjalankan amanah bagi membantu golongan memerlukan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Timbalan Pengarah Bahagian Siasatan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Ma­laysia (SPRM), Datuk Yuhafiz Mohd. Salleh berkata, ketika ini terdapat lebih 90,000 NGO berdaftar yang tertakluk di bawah pelbagai akta berasingan.

Bagaimanapun katanya, Malaysia ma­sih belum mempunyai satu akta khusus yang mengawal selia penubuhan serta operasi NGO atau organisasi bukan ber­orientasikan keuntungan (NPO).

Katanya, situasi itu berbeza dengan United Kingdom (UK) yang mempunyai Charities Act 2011 bagi mengawal selia organisasi kebajikan termasuk aspek kutipan dan penggunaan dana.

“Platform media sosial seperti Facebook, Instagram dan TikTok kini menjadi medium utama mendapatkan sumba­ngan orang ramai.

“Dengan hanya memaparkan kisah menyentuh emosi, gambar golongan memerlukan serta elemen keagamaan, kutipan boleh mencecah jumlah besar dalam tempoh singkat hasil sifat pemurah rakyat Malaysia,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut beliau, walaupun majoriti NGO menggunakan pendekatan itu bagi tujuan yang sah namun ada juga pertubuhan yang beroperasi secara tidak bertanggungjawab.

“Mereka menjadikan sentimen kemanusiaan sebagai alat mengumpul dana sebelum wang tersebut diselewengkan bagi kepentingan peribadi,” katanya lagi.

Yuhafiz berkata, siasatan SPRM mendapati kesalahan pa­ling kerap dikesan membabitkan pecah amanah, penggunaan dokumen palsu, penipuan serta salah guna kuasa.

Ujarnya, lebih membimbangkan, terdapat penyelewengan yang melibatkan jutaan ringgit dilakukan secara tersusun dan sistematik.

“Ia apabila individu tertentu menguasai keseluruhan struktur organisasi termasuk lembaga pengarah dan jawatankuasa pengurusan bagi memudahkan kelulusan pembayaran tanpa semakan bebas.

“Apabila mekanisme semak dan imbang gagal berfungsi, ruang untuk penyelewengan menjadi semakin besar,” kata­nya lagi.

Mengulas aspek penguatkuasaan, beliau menegaskan setiap maklumat yang diterima SPRM akan melalui proses penilaian serta risikan sebelum siasatan dimulakan bagi memastikan tindakan diambil berasaskan bukti dan bukannya persepsi.

Yuhafiz berkata, prinsip bahawa tiada sesiapa mengatasi undang-undang kekal menjadi pegangan SPRM tanpa mengira sama ada individu terbabit merupakan tokoh terkenal, pempengaruh media sosial, ahli perniagaan atau orang awam.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan masyarakat supaya tidak mudah terpedaya dengan kempen kutipan derma yang tular di media sosial tanpa membuat semakan terhadap status organisasi terbabit.

“Penderma perlu memastikan wang disalurkan ke akaun rasmi organisasi dan bukannya akaun peribadi kerana langkah itu mampu mengurangkan risiko menjadi mangsa peni­puan,” katanya.

Yuhafiz turut menegaskan bahawa integriti, akauntabiliti serta audit berkala bukan lagi pilihan kepada NGO, sebaliknya menjadi syarat utama bagi mengekalkan kepercayaan masyarakat terhadap setiap ringgit yang diamanahkan.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini