BAITULMUQADDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada Sabtu menyifatkan perjanjian yang dimeterai negaranya dengan Lubnan sebagai satu tamparan hebat kepada Iran dan Hizbullah.
Namun, pemimpin kumpulan pejuang berkenaan, Naim Qassem sebaliknya mengisytiharkan perjanjian tersebut sebagai tidak sah.
Perjanjian yang ditandatangani di Washington pada Jumaat itu dicapai selepas melalui lima pusingan rundingan yang bertujuan membuka jalan ke arah perdamaian antara kedua-dua negara jiran tersebut, termasuk pelan untuk melucutkan senjata Hizbullah.
Qassem menyelar perjanjian itu sebagai sesuatu yang menghinakan, memalukan dan satu bentuk penyerahan kedaulatan selain memberi amaran bahawa ia boleh membawa kepada rampasan wilayah selatan Lubnan oleh rejim Israel.
“Perjanjian ini adalah terbatal dan tidak sah dan peruntukan dalam memorandum persefahaman Iran-Amerika Syarikat (AS) mestilah dilaksanakan,” katanya, merujuk kepada perjanjian antara kedua-dua kuasa besar itu untuk menamatkan perang Asia Barat termasuk gencatan senjata di Lubnan.
Netanyahu turut mengulangi pendirian tersebut dalam satu taklimat yang disiarkan di televisyen dengan mendakwa bahawa AS dan Lubnan telah mengiktiraf hak Israel untuk mengekalkan zon keselamatan di dalam wilayah Lubnan selama mana yang diperlukan demi menjaga keselamatan.
Bagaimanapun, perjanjian itu turut menerima kritikan dari dalam Israel sendiri apabila Menteri Keselamatan berhaluan kanan, Itamar Ben Gvir pada Sabtu mengecam tindakan tersebut dan mendakwa hanya tentera Israel yang mampu melucutkan senjata Hizbullah.
Lubnan mula diheret ke dalam kancah peperangan serantau ini pada 2 Mac lalu apabila kumpulan Hizbullah yang disokong Teheran melancarkan serangan roket ke arah Israel.
Ia dilancarkan bagi menuntut bela atas kematian pemimpin tertinggi Iran dalam serangan udara AS-Israel.
Israel bertindak balas dengan melancarkan serangan udara besar-besaran dan pencerobohan darat di selatan Lubnan, menyaksikan tentera rejim Zionis kini menduduki sebahagian besar wilayah tersebut serta melakukan perobohan rumah dan bangunan lain secara meluas.
Iran sebelum ini bertegas bahawa sebarang perjanjian untuk menamatkan perang serantau yang lebih luas mesti melibatkan Lubnan.
Dalam pada itu, Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz pada Sabtu memberi amaran bahawa Israel akan menggunakan kekuatan menyeluruh terhadap Iran jika negara itu cuba menyerang Israel bagi menghalang pelaksanaan perjanjian dengan Lubnan. – AGENSI










