GENEVA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menuntut siasatan bebas dijalankan terhadap puluhan kematian dalam tahanan Imigresen dan Penguatkuasaan (ICE) Amerika Syarikat (AS) sejak tahun, serta tindakan segera untuk mengelakkan insiden sama berulang.
Menurut Pejabat Hak Asasi Manusia PBB, sekurang-kurangnya 52 kematian dilaporkan berlaku di kemudahan tahanan ICE sejak awal 2025, apabila Presiden Donald Trump kembali memegang jawatan dan melancarkan tindakan keras terhadap pendatang.
Dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini sahaja, 18 orang maut dalam tahanan ICE, dengan satu lagi kematian dilaporkan pada Jun, manakala 33 kematian direkodkan pada 2025 berbanding 11 kes pada 2024, kata pejabat itu.
“Saya menyeru siasatan segera, bebas, tidak berat sebelah dan berkesan terhadap semua kematian dalam tahanan ICE,” kata Ketua Hak Asasi Manusia PBB, Volker Turk, sambil menggesa tindakan segera bagi mengelakkan kehilangan nyawa seterusnya.
Turk berkata, kekurangan ketelusan dan kejelasan mengenai keadaan kematian tersebut menjejaskan akauntabiliti.
Trump menjadikan usaha membanteras pendatang haram sebagai keutamaan dalam penggal keduanya, dengan pihak berkuasa menahan ribuan individu serta memperluas pusat tahanan.
Satu laporan bersama Human Rights Watch (HRW) dan Physicians for Human Rights menyatakan kadar kematian dalam tahanan ICE mencapai tahap tertinggi dalam lebih sedekad susulan tindakan keras pentadbiran Trump.
ICE kini menahan lebih daripada 60,000 individu, berbanding kira-kira 40,000 pada awal 2025, menurut pejabat Turk. Beliau berkata, terdapat rancangan untuk meningkatkan kapasiti kepada sehingga 90,000 orang menjelang akhir 2026.
Pejabat Turk berkata, antara tahanan termasuk keluarga dengan kanak-kanak, selain terdapat laporan berulang mengenai keadaan serta layanan tahanan yang tidak berperikemanusiaan serta dakwaan membimbangkan mengenai penggunaan kekerasan.
Lima daripada kematian yang dilaporkan secara rasmi tahun ini diklasifikasikan sebagai kes bunuh diri.- AFP











