PETALING JAYA: Pelarian Rohingya menegaskan mereka bukan enggan pulang ke Myanmar, sebaliknya keadaan semasa yang masih tidak selamat serta keengganan kerajaan negara itu menerima mereka menyebabkan hasrat berkenaan tidak dapat direalisasikan.
Presiden Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya di Malaysia (MERHROM), Zafar Ahmad Abdul Ghani berkata, masyarakat Rohingya sentiasa berharap dapat kembali ke tanah air mereka, namun kepulangan hanya boleh dilakukan sekiranya keselamatan terjamin dan hak kewarganegaraan mereka dipulihkan.
“Kami bukan tidak mahu pulang. Kami mahu pulang, tetapi bagaimana kami hendak pulang jika Myanmar sendiri tidak menerima kami? Kami mahu kembali ke tanah air kami dengan selamat dan bermaruah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Menurutnya, pelarian Rohingya di negara ini tidak pernah menuntut kerakyatan Malaysia, sebaliknya hanya memohon pendidikan asas agar dapat ditempatkan di negara ketiga.
“Apa yang diperlukan oleh pelarian Rohingya ketika berada di negara transit seperti Malaysia hanyalah perlindungan sementara dan akses kepada pendidikan asas, khususnya untuk kanak-kanak, sementara menunggu penempatan semula di negara ketiga melalui proses yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
“Kami tidak pernah meminta kerakyatan Malaysia. Apa yang kami mahukan hanyalah pendidikan asas untuk anak-anak sementara menunggu ditempatkan di negara ketiga,” katanya.
Seorang lagi pelarian yang hanya mahu dikenali sebagai Kassim, 30-an, berkata, dia sudah lama menyimpan hasrat untuk pulang ke tanah air, namun impian itu masih belum dapat direalisasikan kerana Myanmar tidak mengiktiraf serta menerima kepulangan etnik Rohingya.
Menurutnya, masyarakat Rohingya bukan memilih untuk terus hidup sebagai pelarian di negara lain, sebaliknya mereka tidak mempunyai pilihan selagi keselamatan, hak kewarganegaraan dan jaminan perlindungan di Myanmar belum dipulihkan.
“Kami memang mahu pulang. Tiada siapa mahu hidup sebagai pelarian selama-lamanya. Tetapi bagaimana kami hendak pulang jika Myanmar sendiri tidak menerima kami? Apa yang kami harapkan ialah keadaan di negara kami kembali aman supaya kami dapat pulang dan menjalani kehidupan seperti rakyat lain,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi pelarian Rohingya, Mohamad Sadeq, 40-an, menggesa agar perubahan demokrasi dilaksanakan segera di Myanmar bagi membolehkan mereka pulang ke tanah air dengan selamat selepas bertahun-tahun hidup sebagai pelarian.
“Saya telah lama memperjuangkan usaha ke arah pemulihan demokrasi di Myanmar kerana hanya melalui langkah itu keamanan dapat dikembalikan yang membolehkan masyarakat Rohingya kembali ke negara asal mereka.
“Kami mengharapkan bantuan dan kerjasama semua pihak termasuk masyarakat antarabangsa untuk memberi tekanan yang berkesan kepada Myanmar agar segera memulihkan sistem demokrasi demi menjamin keselamatan serta masa depan seluruh rakyat negara itu,” katanya.
Akhbar ini semalam melaporkan pelarian Rohingya sanggup membayar sehingga RM15,000 semata-mata untuk masuk ke negara ini bagi mendapatkan perlindungan selepas menjadi sasaran pembersihan etnik oleh kerajaan Myanmar sejak lebih 40 tahun lalu.
Kadar antara RM10,000 hingga RM15,000 itu dibayar kepada sindiket penyeludupan antarabangsa bagi membolehkan seseorang pelarian etnik itu dibawa masuk ke Malaysia melalui jalan udara.
Pensyarah Kanan Pusat Kajian Sejarah Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Aizat Kairi dilaporkan berkata, berdasarkan kajiannya berhubung isu Rohingya sejak 2009 mendapati, terdapat dua laluan digunakan pelarian itu untuk masuk ke negara ini iaitu jalan laut dan udara.
Katanya, bayaran dikenakan terhadap pelarian itu juga berbeza mengikut laluan hendak digunakan dan mengambil kira faktor risiko serta perkhidmatan sindiket.
“Misalnya, jika mereka memilih untuk melalui jalan laut, bayaran dikenakan oleh sindiket antara 40,000 hingga 50,000 taka atau sekitar RM1,500 hingga RM1,600 setiap orang.
“Bagaimanapun, bayaran dikenakan bagi mengikut laluan udara lebih tinggi kerana memerlukan perkhidmatan sindiket pemalsuan pasport yang dipercayai berpangkalan di Bangladesh,” katanya. – UTUSAN










