Venezuela isytihar darurat akibat dua gempa bumi kuat - Utusan Malaysia

Venezuela isytihar darurat akibat dua gempa bumi kuat

ANGGOTA penyelamat mengusung mangsa dari bangunan yang runtuh akibat gempa bumi berkembar di Caracas.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

CARACAS: Venezuela mengisytiharkan darurat selepas dua gempa bumi kuat kelmarin sehingga mengorbankan 32 nyawa dan menyebabkan ba­ngunan di ibu negara runtuh, sekali gus mendorong Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menawarkan bantuan.

Pemimpin sementara Venezuela, Delcy Rodriguez berkata, sebanyak 20 gegaran susulan berlaku selepas gempa bumi berukuran 7.2 dan 7.5 magnitud  melanda kawasan sama di negara itu.

Beliau melaporkan seku­rang-kurangnya lebih 160 orang terkorban dan lebih 700 yang lain cedera, dengan jumlah dijangka boleh meningkat memandangkan pihak berkuasa belum menerma data bagi wilayah berhampiran ibu negara, La Guaira, yang paling teruk terjejas.

Wartawan AFP melaporkan, gempa tersebut mencetuskan panik di ibu negara dan menyebabkan orang ramai bergegas keluar ke jalan raya.

Trump dalam hantaran di platfrom Truth Social miliknya turut menawarkan bantuan kepada Venezuela untuk meng­hadapi kesan gempa berkembar yang melanda negara itu.

“Amerika bersedia, mahu dan mampu untuk membantu! Saya mengarahkan semua agensi kerajaan kami untuk bersiap sedia bergerak dengan cepat,” tulis Trump kelmarin.

Menurut wartawan AFP, sebuah bangunan 22 tingkat musnah sepenuhnya di kawasan Altamira di ibu negara, dengan keadaan huru-hara apabila orang ramai memanggil nama ahli keluarga ketika sukarelawan menjalankan operasi menyelamat.

Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) memaklumkan  gempa bumi pertama bermagnitud 7.2 dikesan berpusat di barat komuniti Morón yang terletak di sepanjang pantai Caribbean negara itu, kira-kira 168 kilometer (km) ke barat Caracas.

“Bencana ini merupakan kejadian kedua dalam gempa bumi berkembar. Gegaran utama berukuran 7.5 skala Richter ini didahului oleh gegaran awal 7.2 dalam masa 39 saat,” kata USGS.

Gempa bumi itu merupakan gempa paling kuat yang melanda negara tersebut dalam tempoh lebih satu abad, tambahnya.

Kali terakhir Venezuela dilanda gempa bumi yang lebih kuat ialah pada 29 Oktober 1900. Ketika itu,  gempa bermagnitud 7.7 berlaku di luar pesisir negara tersebut dan menyebabkan kerosakan besar pada gereja, bangunan awam serta rumah kediaman.

Setakat ini, China, India, Kesatuan Eropah dan Jerman menawarkan bantuan untuk membantu negara tersebut.

Sementara itu Menteri Dalam Negeri, Diosdado Cabello, mengarahkan orang ramai supaya meninggalkan kediaman mereka, selain memaklumkan bekalan gas diputuskan ke beberapa bangunan sebagai langkah berjaga-jaga.

Sementara itu, Rodriguez memaklumkan Lapangan Terbang Antarabangsa Maiquetia, yang terletak berhampiran Caracas, ditutup akibat ‘kerosakan serius’ pada infrastrukturnya. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×