Tembak dron guna Birdie-X, negara jimat jutaan ringgit

Tembak dron guna Birdie-X, negara jimat jutaan ringgit

Utusan Malaysia 25 Jun 2026
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Pelancaran Birdie-X, sistem laser antidron pertama buatan Malaysia bukan sahaja melakar sejarah baharu dalam kedaulatan teknologi pertaha­nan, malah bakal mengubah landskap ekonomi ketenteraan negara menerusi penjimatan kos operasi yang drastik.

Sistem teknologi pertahanan berasaskan senjata tenaga ter­arah (DEW) yang dibangunkan secara domestik hasil kerjasama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE) serta Benua Defence Sdn. Bhd. itu bakal menyelesaikan dilema ‘ekonomi pepera­ngan’ yang dihadapi oleh angkatan tentera di seluruh dunia ketika ini.

Pencipta dan peneraju utama projek Birdie-X, Leftenan Kolonel Hairul Zaimy Ibrahim berkata, ancaman dron dalam konflik geopolitik moden pada hari ini menyaksikan doktrin pepera­ngan berubah, apabila dron ko­mersial yang diubah suai de­ngan kos murah mampu melumpuhkan pangkalan bernilai bilion ringgit.

“Sebelum ini, kaedah konvensional untuk menembak ja­tuh dron adalah dengan menggunakan misil pemintas sistem antidron (C-UAS). Bagaimanapun, kos untuk melepaskan sebutir misil pemintas tersebut mahal mencecah jutaan ringgit bagi satu tembakan.

“Keadaan tersebut dianggap tidak efisien kerana tentera ter­paksa membazirkan misil ber­nilai jutaan ringgit hanya untuk memusnahkan sebuah dron ancaman yang murah.

“Di sinilah keunggulan Bir­die-X menyerlah. Dengan meng­gunakan teknologi alur laser berkuasa tinggi, kos operasi untuk melepaskan satu pancaran laser bagi melumpuhkan dron dianggarkan hanya sekitar ratusan ringgit bagi setiap tembakan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Semalam, muka hadapan Utusan Malaysia melaporkan, TUDM melakar sejarah ba­­haru dalam landskap pertahanan negara menerusi pembangunan sistem laser antidron pertama negara yang direka khas bagi mena­ngani ancaman pesawat tanpa pemandu (UAS) yang semakin kompleks.

Hairul Zaimy yang juga Ke­tua Sekretariat Inovasi TUDM berkata, peralihan kepada teknologi laser itu adalah satu keperluan kritikal demi memastikan kecekapan aset dan kewangan pertahanan negara.

“Dalam doktrin pepera­ngan moden, kita tidak boleh lagi menggunakan pendekatan lapuk menembak jatuh dron berharga sehingga mencecah jutaan ringgit. Itu adalah satu kerugian ekonomi taktik yang besar.

“Melalui Birdie-X, kita me­ngubah formula ini. Kita mampu melumpuhkan ancaman yang sama dengan kos elektrik sekitar ratusan ringgit sahaja bagi setiap tembakan. Ini adalah sistem masa hadapan yang memastikan setiap sen wang pembayar cukai digunakan secara optimum demi keselamatan ruang udara negara,” katanya.

Beliau berkata, selain kos operasi yang jauh lebih murah, status Birdie-X sebagai aset rekaan tempatan sepenuhnya memberikan kelebihan ekonomi yang besar kepada Kementerian Pertahanan daripada segi penyelenggaraan, pembaikan dan naik taraf.

“Ini kerana, setiap proses tersebut boleh dilakukan sepenuhnya oleh kepakaran tempatan (TUDM, STRIDE, dan Benua Defence) tanpa perlu bergantung kepada kontraktor pertahanan asing yang mengenakan kos royalti tinggi. Ia juga meminimumkan pengaliran keluar dana negara kerana rantaian bekalan dan pembangunan sistem berpusat di dalam negara,” katanya.

Menurutnya, sistem itu berpotensi besar untuk direplikasi dan dipasang di seluruh pangkalan udara strategik TUDM, pangkalan tentera laut, mahupun fasiliti infrastruktur kritikal negara (seperti pelantar minyak dan gas serta empangan) dengan kos yang jauh lebih kompetitif berbanding mengimport sistem asing.

“Inovasi ini membuktikan bahawa pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) pertahanan tempatan bukan sekadar pelindung kedaulatan, tetapi juga satu keputusan strategik yang sangat bijak demi kecekapan fiskal negara pada masa hadapan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN