KOTA BHARU: Belum pun dua bulan selepas melahirkan anak ketiga, penyanyi lagu-lagu Kelantan, Eda Ezrin kembali menggegarkan pentas hiburan apabila menerima undangan persembahan bertali arus sehingga jadual seninya kini semakin padat.
Eda Ezrin atau Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail berkata, dia kembali aktif membuat persembahan sejak 13 Jun lalu selepas berehat seketika susulan kelahiran anak ketiganya pada Mei lepas.
Katanya, sambutan dan tawaran persembahan yang diterima selepas bersalin kali ini cukup luar biasa sehingga dia tidak menang tangan menguruskan jadual kerjayanya.
“Alhamdulillah, rezeki selepas bersalin untuk saya dan keluarga terutama anak yang baru dilahirkan cukup banyak sehingga saya sendiri tidak menang tangan.
“Selepas ini saya akan ke Johor untuk memenuhi undangan persembahan,” katanya kepada Utusan Malaysia ,semalam.
Penyanyi popular dengan lagu Bea Sobar Bea itu berkata, antara fokus selepas kembali aktif adalah membuat persiapan rapi bagi menjayakan konsert mega Kelate Ke KL 2026 yang bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur, hujung Ogos ini.
Katanya, peluang beraksi di pentas berskala besar itu dianggap antara momen paling penting sepanjang perjalanan kerjayanya sebagai anak seni.
“Saya akui sedikit berdebar kerana ini adalah pentas yang sangat besar sepanjang bergelar anak seni.
“Jadi saya harap peminat dapat hadir dan memberikan sokongan padu kepada semua artis Kelantan yang membuat persembahan,” ujarnya.
Terdahulu, hiburan Pantai Timur bakal menggegarkan ibu negara menerusi konsert mega Kelate Ke KL 2026 yang dijadual berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 29 Ogos ini.
Konsert yang mengangkat tema Suaro Kito, Jiwo Kito – 100% Ori Kelate itu menghimpunkan barisan artis popular kelahiran Kelantan dalam satu persembahan istimewa yang meraikan identiti seni dan budaya negeri berkenaan.
Antara artis yang bakal menghiburkan peminat pada malam tersebut ialah Eda Ezrin, Rosalinda, Adik Waniey, Man Khan, Den Manjo, Fendi Kenali dan Aris Kapilla.-UTUSAN










