PETALING JAYA: Pelaburan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) sebanyak RM1.3 bilion untuk membangunkan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) Subang sebagai hab perniagaan penerbangan dan aeroangkasa Asia Pasifik bakal sia-sia jika ia diswastakan kepada pihak lain.
Ini kerana, pemilik lain sudah tentu mempunyai perancangan mereka sendiri, sedangkan MAHB melalui pelan Regenerasi LTSAAS bakal membangunkannya dalam tempoh lima tahun akan datang termasuk sebagai hab penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) pesawat.
Pembangun yang akan bermula awal tahun depan itu dijangka siap sepenuhnya pada 2026 atau 2027 dan akan dimajukan oleh anak syarikat MAHB, KLIA Aeropolis Sdn. Bhd. (KASB).
Pengurus Besar KASB, Randhill Singh berkata, daripada jumlah itu, pihaknya menganggarkan RM300 juta digunakan untuk pembangunan infrastruktur biasa dan RM1 bilion lagi infrastruktur awam dan pembinaan fasiliti seperti kilang, bengkel dan sebagainya yang akan dipajak kepada operator-operator.
“Lapangan terbang itu adalah antara tujuh daripada 39 lapangan terbang di bawah kendalian MAHB yang mencatat keuntungan.
“Kami akan kekal fokus memperkasakan industri penerbangan dan aeroangkasa di sebalik potensi besar seperti pelaburan hartanah yang dimiliki oleh LTSAAS,” katanya dalam sidang media yang diadakan secara maya semalam.
Jelasnya, lapangan terbang yang menguntungkan itu akan membantu dalam konsep subsidi silang yang dijalankan oleh pihaknya.
Ujarnya, dengan adanya pelan Regenerasi itu, pihaknya percaya akan melipat gandakan perolehan daripada LTSAAS.
Beliau menekankan, anggaran awal menunjukkan empat kali ganda perolehan tahunan akan dijana daripada pelan tersebut. Apabila itu berlaku, kekuatan kewangan MAHB akan menjadi lebih tinggi.
Pelan induk pembangunan semula LTSAAS yang kini sudah dimajukan menerusi kerja-kerja tanah itu dijangka mewujudkan lebih 19,000 peluang pekerjaan bernilai tinggi dan menjana lebih RM10 bilion ekonomi dalam pelbagai sektor, apabila siap sepenuhnya.
Namun begitu, sekiranya penswastaan dilakukan kepada LTSAAS, pelan tersebut tidak akan dilaksanakan.
Sementara itu, Presiden Persatuan Industri Aeroangkasa Malaysia, Naguib Mohd. Nor berkata, LTSAAS berpotensi menjadi hab MRO pilihan pertama di rantau ini, namun masih banyak penambahbaikkan yang perlu dilakukan.
“Untuk bersaing dengan Singapura yang merupakan hab MRO pilihan pertama di rantau ini, kami perlu menambah baik kemahiran penyelenggaraan kami. Kami juga perlu memperkasakan lagi pemain-pemain MRO terutamanya di LTSAAS,” katanya. – UTUSAN










