WASHINGTON: Tiga hakim Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) memfailkan saman terhadap Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, dan pentadbirannya berhubung sekatan yang dikenakan ke atas mereka tahun lalu, dengan mendakwa tindakan itu menyalahi undang-undang.
Saman tersebut difailkan di mahkamah persekutuan di Manhattan oleh Kimberly Prost dari Kanada, Solomy Balungi Bossa dari Uganda dan Reine Adelaide Sophie Alapini-Gansou semalam.
Ketiga-tiga hakim itu berkata, sekatan tersebut direka untuk mengenakan tekanan di luar bidang kuasa dengan objektif menghukum dan memaksa hakim.
Dalam saman berkenaan, para hakim berhujah sekatan tersebut melanggar undang-undang kerana melangkaui skop Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa (IEEPA) dan tidak berasaskan sebarang darurat negara atau ancaman luar biasa.
Jabatan Negara dan Jabatan Perbendaharaan AS serta Rumah Putih tidak memberikan sebarang maklum balas segera terhadap permintaan untuk mengulas perkara itu.
Pentadbiran Trump mengenakan sekatan ke atas beberapa hakim ICC tahun lalu sebagai tindak balas luar biasa terhadap keputusan tribunal jenayah itu mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, serta keputusan terdahulu untuk membuka siasatan berhubung dakwaan jenayah perang yang dilakukan tentera AS di Afghanistan.
Sekatan tersebut menjejaskan keupayaan individu untuk menjalankan urusan kewangan harian kerana mana-mana bank yang mempunyai hubungan denga AS atau menjalankan transaksi dalam dolar dijangka perlu mematuhi sekatan berkenaan.
ICC, yang ditubuhkan pada 2002, mempunyai bidang kuasa antarabangsa untuk mendakwa kes pembunuhan beramai-ramai, jenayah terhadap kemanusiaan dan jenayah perang yang berlaku di negara anggota atau dalam situasi yang dirujuk oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC).
Walaupun ICC mempunyai bidang kuasa untuk membicarakan jenayah perang, jenayah terhadap kemanusiaan dan pembunuhan beramai-ramai di 125 negara anggotanya, beberapa negara termasuk AS, China, Russia dan Israel tidak mengiktiraf kuasa mahkamah tersebut.
Penentangan pentadbiran Trump terhadap ICC bermula sejak penggal pertama beliau sebagai presiden. Pada 2020, Washington mengenakan sekatan terhadap pendakwa ketika itu, Fatou Bensouda, dan seorang pegawai kanan beliau berhubung siasatan mahkamah itu mengenai Afghanistan.- AGENSI











