BANDAR RAYA NEW YORK: Dua peminat tegar bola sepak bertuah, Kevin Akoto dan Austin Franklin dibayar sebanyak AS$50,000 (RM205,846) setiap seorang hanya untuk menonton kesemua 104 perlawanan bola sepak Piala Dunia yang berlangsung di Amerika Syarikat (AS).
Agensi berita BBC sempat menemui mereka selepas seminggu menggalas tanggungjawab sebagai ‘Ketua Pemerhati Piala Dunia’ bagi saluran Fox One untuk menyelami pengalaman unik berkenaan, ketika bahang kejohanan kini semakin memuncak dengan enam perlawanan dijadualkan berlangsung setiap hari.
Keberadaan mereka sukar dilepaskan daripada pandangan orang ramai berikutan penempatan sebuah kubikel kaca khas yang dibina di tengah-tengah Times Square, New York bagi membolehkan orang awam melihat aktiviti mereka secara dekat.
Ruang tersebut dilengkapi dengan kerusi rehat malas, sofa kulit berwarna coklat, dua buah televisyen skrin besar dan sebuah meja bola sepak. Malah, ruangan itu turut dipenuhi dengan pelbagai barangan cenderamata bola sepak serta snek bagi menghidupkan suasana tontonan yang ideal buat seorang peminat sukan tegar.
“Ini seperti apa yang diimpikan oleh mana-mana anak muda berusia 20-an. Jika anda boleh meletakkan apa sahaja di dalam bilik ini sebagai peminat tegar bola sepak, inilah barangan yang anda mahukan,” kata Kevin kepada BBC.
Kevin, yang bekerja sebagai pembantu tukang masak dari Florida, bersama Austin, seorang pempengaruh media sosial dari Philadelphia, berjaya menewaskan ribuan calon lain untuk merebut jawatan tersebut.
Tugas mereka bukan sekadar menonton setiap perlawanan, malah turut merangkumi tanggungjawab menghasilkan kandungan kreatif untuk tatapan peminat di luar sana.
Memandangkan kejohanan masih berbaki beberapa minggu lagi, kedua-dua lelaki itu mengakui mereka perlu bijak menguruskan tenaga masing-masing.
“Saya mula rasa letih, begitu juga dengan Austin. Jadi, kami perlu belajar bagaimana untuk menyesuaikan diri dengan semua perkara yang sedang berlaku sekarang,” ujar Kevin.
Pandangan itu turut dipersetujui oleh Austin, yang menyamakan pengalaman tersebut seperti menyertai kem musim panas di mana peredaran hari demi hari mula terasa tepu.
“Ia sememangnya satu maraton yang panjang. Walaupun tugasan ini secara relatifnya nampak mudah kerana saya hanya perlu duduk di atas sofa dan menonton bola sepak namun ia tetap meletihkan. Saya perlu memastikan saya mendapat rehat dan tidur yang cukup selama lapan jam apabila berkesempatan,” katanya.
Bagaimanapun, mereka bertuah kerana tugasan tersebut tidak memerlukan mereka bermalam di dalam kotak kaca di Times Square itu. Sebaliknya, mereka dibenarkan pulang selepas tamat syif masing-masing untuk berehat sebelum menyambung tugasan pada keesokan harinya. – BBC










