‘PEMUDA harapan bangsa, pemudi tiang negara’. Itulah ungkapan Melayu yang menggambarkan kekuatan anak muda dalam membentuk sebuah ketamadunan unggul lagi berjaya.
Sejarah membuktikan pemuda yang gagah akal dan fizikalnya mampu menawan dunia.
Lupakah kita bahawa Sultan Muhammad al-Fateh dilantik menjadi sultan pada usia muda 19 tahun dan berjaya membina sebuah empayar yang kuat sehingga menawan kota Konstantinopel (kini Istanbul) pada usia 21 tahun?
Para pemuda harus sedar mereka bakal menyambung perjuangan datuk nenek dan ibu bapa mereka dalam membina serta melindungi negara ini daripada sebarang bentuk penjarahan dan penjajahan kuasa asing.
Belia turut bertanggungjawab memilih pemimpin yang syumul pemikirannya, tidak rasis apatah lagi fobia terhadap Islam supaya kedaulatan negara yang mereka duduki ini terus terpelihara tanpa perlu tunduk kepada mana-mana desakan ideologi yang merosakkan.
Apabila wujud sekelompok individu yang tidak berpuas hati dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, maka perkara ini perlu mendapat perhatian serius semua pihak.
Tumpuan perlu diberikan kepada seorang Ahli Dewan Negara dan bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) yang menyelar usaha dakwah di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini.
Ahli Dewan Negara, Senator Dr. Lingeshwaran R. Arunasalam menuduh pusat Islam di UPSI memanipulasi atau mengeksploitasi pelajar yang ingin memeluk agama Islam menggunakan galakan dan insentif tertentu.
Manakala bekas exco Selangor, Ronnie Liu pula mendakwa UPSI gagal menghalang penukaran agama pelajar Hindu kepada Islam yang kononnya melibatkan unsur paksaan serta pelanggaran hak asasi dan kebebasan beragama.
Dakwaan-dakwaan ekstrem tersebut jelas menunjukkan kecenderungan segelintir pihak untuk memandang serong usaha dakwah yang dilaksanakan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Hujah UPSI memaksa penuntut bukan Muslim memeluk agama Islam merupakan satu tuduhan serius yang perlu disokong dengan bukti yang kukuh. Sekiranya dakwaan sedemikian dibuat tanpa asas, ia bukan sahaja mencemarkan reputasi universiti malah berpotensi menimbulkan ketegangan antara kaum dan agama.
Penulis ingin menegaskan bahawa Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas memperuntukkan Islam sebagai agama Persekutuan. Pada masa sama, Perkara 11 menjamin kebebasan beragama kepada setiap individu di Malaysia. Setiap warganegara berhak menganut dan mengamalkan agamanya secara aman dan harmoni.
Bagi individu yang telah mencapai umur majoriti, iaitu 18 tahun, mereka diiktiraf sebagai orang dewasa di sisi undang-undang dan mempunyai kapasiti untuk menentukan pegangan agama mereka sendiri.
Hak tersebut termasuklah membuat keputusan untuk memeluk atau menukar agama secara sukarela tanpa paksaan daripada mana-mana pihak termasuk ibu bapa sendiri.
Justeru, dakwaan setiap penukaran agama dalam kalangan pelajar dewasa semestinya berlaku akibat manipulasi atau eksploitasi adalah satu andaian yang tidak berasas.
Kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan turut dihuraikan dengan jelas oleh Mahkamah Rayuan dalam kes Menteri Dalam Negeri & Ors v Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur atau lebih dikenali sebagai Kes Kalimah Allah.
Dalam penghakimannya, Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim menegaskan kedudukan Islam meletakkan kewajipan ke atas pihak berkuasa untuk mempromosi, mempertahankan serta memelihara kesucian agama Islam.
Prinsip tersebut membawa kesan perundangan yang nyata termasuk membolehkan negara menubuhkan institusi Islam, memperuntukkan dana awam bagi tujuan pengembangan Islam serta melaksanakan program dakwah dan pendidikan Islam secara meluas.
Dalam konteks ini, pusat Islam di UPSI mempunyai hak untuk menyediakan bantuan kewangan, kemudahan pengajian serta kelas bimbingan kepada pelajar yang secara sukarela ingin mendalami Islam atau mendaftar sebagai mualaf.
Dari sudut pembangunan belia, persoalannya bukanlah sama ada pelajar bukan Islam boleh memeluk agama Islam atau tidak. Sebaliknya, persoalan yang lebih utama ialah bagaimana agama Islam dapat disampaikan kepada pelajar bukan Islam secara berkesan tanpa sebarang prejudis dan salah faham.
Persoalan ini menjadi semakin penting apabila kita melihat belia hari ini sedang berhadapan dengan pelbagai cabaran identiti yang tidak pernah dialami oleh generasi terdahulu.
Mereka hidup dalam dunia tanpa sempadan, dibentuk oleh algoritma media sosial yang berubah setiap hari. Lebih membimbangkan apabila dunia semakin cenderung menyalahkan Islam setiap kali berlakunya peperangan, konflik geopolitik atau krisis ekonomi dan sosial.
Sikap prejudis, diskriminasi, ketakutan yang tidak rasional serta kebencian melampau seringkali disasarkan terhadap agama Islam dan penganutnya, khususnya menerusi media sosial yang menjadi sumber maklumat utama generasi muda hari ini.
Ironinya, Islam menjadi antara agama yang paling pesat berkembang di dunia. Di United Kingdom (UK) misalnya, populasi Muslim terus menunjukkan peningkatan yang ketara dari semasa ke semasa.
Fenomena ini membuktikan semakin ramai manusia yang memilih Islam bukan kerana paksaan tetapi kerana melihat jawapan terhadap kekeliruan hidup di era pasca moden melalui ajaran yang dibawa oleh agama tersebut.

BELIA BUKAN LAGI KANAK-KANAK
Hakikatnya, belia hari ini sedang mencari identiti. Mereka sedang mencari pegangan hidup, nilai moral dan tujuan kewujudan yang mampu memberikan ketenangan dalam dunia yang semakin kompleks dan bercelaru.
Dalam pencarian tersebut, adalah tidak adil untuk menuduh setiap individu yang memilih Islam sebagai mangsa manipulasi atau paksaan. Tindakan sedemikian bukan sahaja menghina kebijaksanaan golongan muda, malah merendahkan keupayaan mereka untuk membuat keputusan secara rasional dan bebas.
Justeru, golongan belia perlu tampil sebagai generasi yang berani mempertahankan kebenaran, menghormati Perlembagaan Persekutuan dan menolak sebarang bentuk fitnah terhadap institusi Islam.
Mereka juga perlu menjadi generasi yang celik sejarah, celik undang-undang dan celik maklumat agar tidak mudah dipengaruhi oleh naratif yang dibina atas dasar kebencian terhadap Islam. –UTUSAN
PENULIS ialah Setiausaha Kehormat Pertubuhan Ikatan Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) dan Exco Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia dalam Proses Semakan Berkala Sejagat UPR (MACSA).










