KUALA TERENGGANU: Daging kambing dianggarkan seberat 400 kilogram (kg) licin dijual dalam tempoh 30 minit pada Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) di Masjid Tok Jembal, Seberang Takir, di sini, semalam.
Daging kambing segar termasuk kepala dijual pada harga potongan sebanyak 32 peratus atau RM30.50 sen setiap kg, pertama kali dijual di PJRM kali ini.
Operator yang diberi tanggungjawab melaksanakan PJRM itu, Zurin Abd. Rahman berkata, jualan daging kambing segar kali pertama diadakan bertujuan memberi peluang kepada pengunjung menikmatinya pada harga berpatutan.
“Kita memaklumkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri untuk melakukan kelainan dengan menjual daging kambing pada PJRM.
“KPDN bersetuju tetapi perlu mematuhi peraturan terutama pengurangan harga antara 10 peratus dan 30 peratus,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Zurin berkata, pihaknya menjual daging kambing segar pada harga RM30.50 setiap kg, berbanding harga pasaran sekitar RM45 setiap kg.
“Walaupun pertama kali diperkenal, sambutan pengunjung sangat menggalakkan apabila daging daripada lima ekor kambing seberat kira-kira 400 kg habis dijual dalam tempoh 30 minit.
“Berdasarkan sambutan pengunjung, kita bercadang meneruskan jualan daging kambing segar, selain daging lembu dan ayam pada PJRM yang diadakan di seluruh negeri,” katanya.
Sementara itu, Pengarah KPDN negeri, Mohd Mufsi Lat berkata, semua operator yang diberi tanggungjawab melaksanakan PJRM dibenarkan membuat kelainan tetapi perlu mematuhi peraturan ditetapkan iaitu pengurangan harga antara 10 peratus dan 30 peratus. – UTUSAN










