Majoriti rawatan tambahan IVF tiada kesan pada kesuburan

Majoriti rawatan tambahan IVF tiada kesan pada kesuburan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Majoriti rawatan tambahan IVF yang dijual kepada individu yang berharap dapat meningkatkan peluang untuk memiliki zuriat, didapati tidak disokong oleh bukti yang boleh dipercayai, gagal meningkatkan kesuburan malah mungkin menjadi pembaziran wang yang sia-sia, demikian rumusan sebuah kajian terbesar seumpamanya.

Sejak kebelakangan ini, terdapat lonjakan dalam penawaran prosedur, ubat-ubatan atau teknik ekstra kepada pesakit sebagai tambahan kepada rawatan standard IVF, disertai dakwaan besar bahawa ia mampu meningkatkan kebarangkalian kejayaan.

Pengambilannya juga amat meluas dengan lebih 70 peratus pesakit IVF di United Kingdom (UK), Australia dan New Zealand membayar untuk satu atau lebih rawatan tambahan semasa menjalani proses IVF.

Bagaimanapun, tinjauan paling komprehensif di dunia mengenai keberkesanan rawatan berkenaan serta bukti di sebaliknya mendapati majoriti daripadanya tidak menunjukkan sebarang kesan terhadap kesuburan atau kekal tidak dapat disimpulkan akibat data yang terhad atau berkualiti rendah.

Pakar di sebalik penyelidikan itu menyatakan rawatan tambahan yang tidak terbukti ini juga membawa kepada harapan palsu, tekanan kewangan yang lebih besar dan prosedur perubatan yang tidak perlu pada waktu yang sememangnya sudah sukar bagi pesakit.

Penemuan tersebut diterbitkan dalam jurnal The Lancet Obstetrics, Gynaecology & Women’s Health.

“Di kebanyakan negara, penjagaan kesuburan sebahagian besarnya disediakan oleh klinik swasta di mana IVF telah dikomersialkan secara meluas dan sesetengah rawatan tambahan ini adalah sangat mahal.

“Tinjauan kami mendapati wujudnya kekurangan bukti bahawa sebahagian besar rawatan tambahan IVF yang kami nilai memberikan sebarang manfaat kepada pesakit.

“Rawatan tambahan yang tidak terbukti boleh membawa kepada harapan palsu, bebanan kewangan yang lebih besar dan prosedur perubatan yang tidak diperlukan pada waktu yang biasanya amat sukar bagi pesakit,” kata Pakar University of Melbourne, Dr. Sarah Lensen.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat kebimbangan yang semakin meningkat mengenai kekerapan ujian terkawal rawak yang diragui atau tidak boleh dipercayai dalam bidang perubatan reproduktif termasuk ujian yang mengkaji rawatan tambahan IVF.

Matlamat para penyelidik yang mengetuai analisis-meta ini adalah untuk menawarkan gambaran keseluruhan yang komprehensif mengenai keberkesanan dan keselamatan 10 rawatan tambahan IVF yang biasa digunakan dengan mengehadkan penilaian hanya kepada kajian-kajian yang berkualiti tinggi. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN