WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengarahkan siasatan terhadap syarikat minyak utama berhubung dakwaan harga petrol yang tinggi, ketika beliau berdepan tekanan politik susulan kesan konflik di Asia Barat.
Harga petroleum global melonjak selepas Iran menyekat aliran minyak melalui Selat Hormuz sebagai tindak balas terhadap serangan AS-Israel pada Februari.
“Syarikat Minyak besar tidak menurunkan harga di pam sejajar dengan harga minyak yang telah jatuh dengan ketara yang mereka bayar. Harga tersebut jatuh seperti batu! Dalam erti kata lain, pengguna sedang ‘diperah’,” tulis Trump di platform Truth Social.
Isu harga petrol kekal sensitif di AS kerana sebahagian besar rakyat masih bergantung kepada kenderaan berasaskan bahan api fosil untuk pengangkutan harian.
Trump turut menerima kritikan politik berhubung kesan konflik tersebut terhadap kos sara hidup rakyat Amerika, ketika pilihan raya kongres semakin hampir pada November.
Beliau sebelum ini berulang kali meramalkan harga bahan api akan turun dengan ketara selepas konflik berakhir.
Namun, ahli ekonomi mempertikaikan dakwaan tersebut, dengan menjangkakan harga minyak hanya akan kembali ke paras sebelum perang dalam tempoh beberapa bulan.
Teheran dan Washington mencapai satu perjanjian awal yang merangkumi penyambungan semula laluan kapal tangki minyak melalui Selat Hormuz, namun isu lain seperti program nuklear Iran masih belum diselesaikan.
Harga petrol masih berada di atas paras sebelum perang, tetapi menurun sejak perjanjian awal itu diumumkan.
Purata harga satu gelen (3.8 liter) petrol biasa direkodkan pada AS$3.93 (RM16.27) pada Selasa, menurut kelab automotif AAA.
Trump turut berdepan kritikan daripada rakyat Amerika yang menuduhnya membelanjakan berbilion dolar wang pembayar cukai untuk perang di Asia Barat, ketika harga minyak dan inflasi meningkat di AS.- AFP










