Hak undi perlu akses saksama

Hak undi perlu akses saksama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA landskap politik negara terus berkembang dan perbincangan mengenai pilihan raya semakin mendapat perhatian, persoalan penting perlu diberi perhatian, adakah sistem pilihan raya kita benar-benar boleh diakses oleh semua rakyat, termasuk Orang Kurang Upaya (OKU)?

Dalam keghairahan membincangkan strategi parti, calon dan persaingan politik, isu aksesibiliti pilihan raya sering terpinggir. Sedangkan bagi ribuan pengundi OKU, cabaran utama bukan hanya memilih calon atau parti tetapi memastikan mereka dapat melaksanakan hak mengundi secara bebas, selamat dan bermaruah.

Hak mengundi merupakan asas kepada demokrasi. Namun, hak tersebut hanya bermakna apabila setiap rakyat mempunyai peluang yang sama untuk menggunakannya tanpa halangan atau diskriminasi.

Demokrasi yang matang bukan sekadar diukur melalui jumlah pengundi yang keluar mengundi atau pertukaran kerajaan selepas pilihan raya. Ia turut dinilai melalui sejauh mana sistem tersebut mampu memastikan semua lapisan masyarakat terlibat secara bermakna.

Dalam konteks pengundi OKU, persoalan seperti akses kepada maklumat pilihan raya, bahan kempen yang mudah difahami, kemudahan fizikal di pusat mengundi serta sokongan komunikasi masih perlu diberi perhatian.

Bahan kempen yang tidak tersedia dalam format mesra OKU atau ketiadaan Jurubahasa Isyarat Malaysia (JBIM) dalam program politik boleh mengehadkan penyertaan mereka dalam proses demokrasi.

Sejak 2010, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menjalankan pemantauan terhadap pilihan raya di negara ini dan mendapati cabaran yang dihadapi pengundi OKU merupakan perkara yang berulang dan memerlukan penyelesaian secara menyeluruh.

Akses kepada pilihan raya bukan sekadar menyediakan ruang untuk membuang undi. Ia merangkumi keseluruhan proses bermula daripada mendapatkan maklumat, memahami pilihan yang ada, menghadiri kempen sehinggalah melaksanakan undi secara bebas dan rahsia.

Keperluan aksesibiliti juga tidak terhad kepada hari pengundian. Sebahagian pengundi OKU berdepan kesukaran mendapatkan maklumat mengenai manifesto, dasar parti dan isu semasa kerana bahan tersebut tidak sentiasa disediakan dalam bentuk yang mudah diakses.

Selain itu, cabaran seperti laluan pusat mengundi yang tidak mesra OKU, kekurangan kemudahan khas, masalah pergerakan dan bantuan yang tidak mencukupi boleh menjejaskan pengalaman mereka sebagai pengundi.

Usaha memperkukuh aksesibiliti pilihan raya bukan hanya memberi manfaat kepada golongan OKU. Sistem yang lebih inklusif turut membantu warga emas, wanita hamil serta individu yang memerlukan kemudahan tambahan.

Pilihan raya yang mudah diakses mencerminkan komitmen negara terhadap demokrasi yang lebih adil dan menyeluruh. Setiap rakyat perlu diberi ruang untuk menyuarakan pilihan tanpa dipengaruhi oleh batasan fizikal, komunikasi atau akses maklumat.

Pada akhirnya, demokrasi bukan hanya tentang hak untuk memilih tetapi juga kemampuan setiap individu melaksanakan hak tersebut. Jika setiap undi dianggap berharga, maka setiap pengundi juga mesti diberi peluang yang sama untuk menunaikan tanggungjawab mereka.

Hak mengundi sahaja tidak mencukupi tanpa akses yang saksama. Demokrasi yang benar-benar inklusif ialah demokrasi yang memastikan tiada seorang pun rakyat tercicir daripada mengambil bahagian dalam menentukan masa depan negara. -UTUSAN

 

PENULIS ialah Penolong Setiausaha Bahagian Dasar Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×