Memanfaatkan krisis global demi masa hadapan negara

Memanfaatkan krisis global demi masa hadapan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KONFLIK yang tercetus sejak 28 Februari lalu apabila Amerika Syarikat (AS) dan Israel menyerang Iran membawa pengajaran besar iaitu negara yang tidak bersedia akan mudah terancam, manakala negara yang bijak bertindak mampu bangkit lebih kuat.

Menurut laporan JP Morgan, Malaysia antara negara Asia yang dijangka mengemudi krisis ini dengan baik berbanding negara jiran di Asia Tenggara. Ini kerana Malaysia memiliki asas yang cukup kukuh untuk tidak sekadar bertahan tetapi melompat ke hadapan apabila gelombang reda.

Namun peluang tidak mengetuk pintu dua kali. Kerajaan Malaysia perlu bertindak dengan berani, cekap dan berstrategi dalam tempoh lima tahun akan datang. Jadi, kerajaan perlu memberi fokus kepada :

Memuatkan artikel berkaitan…

KEDAULATAN MAKANAN NADI KESTABILAN

Tanpa input pertanian yang mencukupi, hasil tanaman dunia diramal merosot mendadak, sekali gus mencetuskan krisis jaminan makanan global yang mampu menggugat kestabilan sosial di banyak negara.

Justeru, dalam tempoh dua tahun pertama, kerajaan perlu melancarkan Program Kedaulatan Makanan Nasional yang bersepadu. Ini melibatkan peningkatan kawasan tanaman padi di Lembah Muda dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dengan teknologi pertanian pintar, pengembangan ternakan tempatan khususnya ayam dan ikan air tawar, serta pengurangan kebergantungan kepada baja import dari Asia Barat. Ini boleh dilakukan dengan membangunkan industri baja berasaskan biojisim tempatan.

Dalam jangka masa sederhana pula, kerajaan perlu menandatangani perjanjian keselamatan makanan dua hala dengan Vietnam, Thailand dan Indonesia untuk memastikan aliran bekalan beras serta komoditi asas tidak terputus sewaktu krisis geopolitik.

Simpanan strategik makanan negara juga wajar ditingkatkan daripada 30 hari kepada sekurang-kurangnya 90 hari menjelang 2028.

FTA BAHARU DAN KEPELBAGAIAN PASARAN EKSPORT

Industri semikonduktor Malaysia menyuarakan kebimbangan terhadap bekalan input kritikal semasa krisis berlangsung. Namun di sebalik cabaran ini, Malaysia boleh muncul sebagai hab pengeluaran alternatif yang semakin diminati dunia.

Kerajaan perlu dengan segera mengakselerasi rundingan FTA dengan blok ekonomi yang selama ini diabaikan, khususnya Kesatuan Ekonomi Eurasia, negara-negara Afrika Timur di bawah Komuniti Afrika Timur (EAC), serta memperkukuh perjanjian sedia ada dengan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) apabila kestabilan pasca perang memungkinkan normalisasi hubungan dagang.

Dalam tempoh 2027 hingga 2029, Malaysia wajar meletakkan dirinya sebagai pengeksport utama produk hiliran sawit, peranti perubatan dan peralatan elektrik ke pasaran yang sebelum ini dikuasai Iran dan negara-negara yang terganggu oleh konflik.

Pejabat perdagangan Malaysia perlu diperkukuh di Ankara, Nairobi dan Tashkent sebagai pintu masuk ke pasaran baharu ini.

INFRASTRUKTUR HIJAU MAGNET PELABURAN

Dunia pasca-konflik akan semakin lapar kepada rantaian bekalan yang bersih, telus dan tahan lasak. Model tepat pada masa terbukti terlalu rapuh dalam menghadapi kejutan geopolitik dan komuniti industri tidak lagi boleh bergantung kepadanya.

Malaysia berpeluang menjadi pelopor model rantaian bekalan hijau di Asia Tenggara. Kerajaan perlu memperuntukkan sekurang-kurangnya 15 peratus daripada bajet infrastruktur tahunan untuk membangunkan zon perindustrian hijau bersepadu di seluruh Malaysia yang dilengkapi dengan tenaga suria, stor tenaga dan sistem logistik rendah karbon.

Insentif cukai hijau perlu distrukturkan semula supaya menarik syarikat multinasional yang ingin memindahkan operasi keluar dari zon berisiko.

Malaysia perlu menawarkan pakej pelaburan merangkumi kemudahan cukai selama 10 tahun, tanah perindustrian bersertifikasi hijau serta akses rangkaian digital 5G yang berpusat.

Ini bukan sahaja akan menarik pelaburan asing langsung (FDI) yang berkualiti, malah akan mewujudkan ekosistem industri yang mampu bertahan dalam mana-mana senario geopolitik.

 

MALAYSIA perlu berani mengambil peluang melalui strategi yang kukuh dalam makanan, perdagangan, tenaga dan industri hijau.

 

STABIL RANTAIAN BAHAN API SECARA MAMPAN

Pada 2025, sekitar 69 peratus import minyak mentah Malaysia dari Asia Barat, bermakna gangguan di rantau tersebut memberi kesan langsung kepada ekonomi domestik. Kebergantungan yang terlalu tinggi ini perlu dikurangkan secara sistematik.

Subsidi bahan api yang lebih bersasar dianggap mampu menampung kesan kenaikan harga tenaga sambil mengekalkan defisit bajet pada paras 3.5 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Kerangka ini perlu dikembangkan lagi dengan memperkenalkan mekanisme Tabung Penstabilan Harga Bahan Api yang dibiayai melalui lebihan hasil Petronas semasa harga minyak tinggi.

Tabung ini akan digunakan untuk menyerap kejutan harga apabila pasaran bergolak, mengurangkan tekanan kepada bajet persekutuan.

Selain itu, Malaysia perlu mempercepat kepelbagaian sumber tenaga dengan mengembangkan kapasiti tenaga suria domestik kepada 40 peratus dalam campuran tenaga menjelang 2030, mengurangkan kebergantungan kepada diesel import untuk sektor pertanian dan pengangkutan.

Perjanjian bekalan gas asli cecair (LNG) jangka panjang dengan Australia dan Qatar perlu dikukuhkan semula dengan klausul harga terikat yang melindungi kepentingan pengguna domestik.

 

KERANGKA PELAKSANAAN LIMA TAHUN

Dalam fasa pertama dari 2026 hingga 2027, tumpuan diberikan kepada pengukuhan simpanan strategik, pelancaran program pertanian pintar dan pengstrukturan semula subsidi bahan api.

Fasa kedua dari 2027 hingga 2029 menumpukan kepada pengesahan FTA baharu, pembinaan zon perindustrian hijau dan pengembangan kapasiti tenaga boleh diperbaharui.

Fasa terakhir dari 2029 hingga 2031 akan menyaksikan Malaysia mengekspor model rantaian bekalan hijau ini ke negara-negara ASEAN sebagai rakan kongsi, mengukuhkan kedudukan Kuala Lumpur sebagai ibu kota ekonomi hijau rantau ini.

Institusi kewangan global bukan menulis laporan untuk menyedapkan hati sesiapa tetapi berdasarkan data, angka dan realiti keras.

Apabila mereka menyatakan Malaysia bukan sekadar akan bertahan, malah akan melangkah lebih jauh, itu bukan pujian tetapi peringatan agar tidak mensia-siakan kelebihan yang ada.

Malaysia kini berdiri di persimpangan sejarah, di mana setiap keputusan dasar, setiap ringgit yang dilaburkan dan setiap perjanjian yang ditandatangani akan membentuk nasib anak cucu. –UTUSAN

DR. Abu Sufian Abu Bakar ialah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Timbalan Pengerusi Forum Ekonomi Manusiawi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini