TEHERAN: Gabenor bank pusat Iran menyatakan negara itu berkemungkinan besar akan menggunakan dana beku yang dilepaskan di bawah perjanjiannya dengan Washington untuk membeli produk pertanian Amerika Syarikat (AS).
Bagaimanapun, Abdolnaser Hemmati menerusi satu mesej video menafikan pengisytiharan Presiden AS, Donald Trump bahawa perjanjian tersebut mewajibkan Iran membelanjakan wang berkenaan untuk barangan eksport AS.
Menurut Hemmati, dana awal sebanyak AS$12 bilion (RM49.7 bilion) yang dilepaskan kepada Teheran memang bertujuan membeli barangan keperluan asas dan ubat-ubatan sambil menambah langkah itu secara tidak langsung membolehkan Iran menggunakan dana sedia adanya untuk tujuan lain.
Sebelum ini, Trump pada Selasa berkata, wang Iran tersebut akan digunakan untuk pembelian bekalan makanan dan perubatan secara eksklusif dari AS termasuk jagung, gandum dan kacang soya daripada petani-petani AS.
Namun, Hemmati menenangkan rakyatnya dengan menegaskan perkara itu tidak benar malah tiada syarat sedemikian dalam memorandum yang ditandatangani semasa rundingan serta tiada sebarang kewajipan untuk membeli dari AS.
“Bagaimanapun, kami juga tidak mempunyai masalah untuk membuat pembelian dari AS sekiranya harga dan kualiti barangan keperluan asas tersebut sama ada jagung, gandum, atau apa-apa produk lain yang kami perlukan adalah kompetitif,” katanya.
Hemmati turut menjelaskan pemahaman Iran berhubung peruntukan perjanjian tersebut bagi menamatkan sekatan yang melarang eksport minyak dan petrokimia negara itu.
Beliau berkata, sepanjang tempoh rundingan selama 60 hari, Iran bebas untuk mengeksport produk petroleum tanpa tekanan berkaitan sekatan termasuk sekatan kewangan.
“Kami akan dapat menghantar produk-produk ini melalui mana-mana pelabuhan, menggunakan mana-mana kapal dan menerima pembayaran ke dalam mana-mana akaun yang kami tetapkan supaya kami boleh menggunakan hasil tersebut secara bebas,” katanya.
Trump sebelum ini berdepan kritikan kerana menandatangani perjanjian dengan Teheran bagi menghentikan perang AS-Iran dan mula melepaskan berbilion-bilion dolar aset Iran yang dibekukan, sebelum sebarang persetujuan mengenai masa depan program nuklearnya dicapai.
Namun pada Selasa, beliau memuat naik hantaran di media sosial yang menyatakan dana beku itu akan dimasukkan ke dalam akaun Amanah yang dikawal oleh AS dan digunakan untuk membeli makanan serta ubat-ubatan penting, bukan untuk membiayai persenjataan semula Iran.
“Bagi kami, ia tidak membawa banyak perbezaan. Setiap tahun kami membelanjakan kira-kira AS$10 bilion hingga AS$12 billion (RM41.4 bilion hingga RM49.7 billion), malah mungkin mencecah AS$15 bilion (RM62.15 bilion) untuk barangan keperluan asas,” jelas gabenor bank pusat itu memperkecilkan sekatan tersebut. -AFP










