SAMPAI bila universiti awam di negara ini mahu terus bergantung kepada kerajaan?
Dalam keadaan fiskal negara yang semakin mencabar, kebergantungan berterusan kepada peruntukan kerajaan tidak lagi boleh dianggap sebagai jaminan mutlak kepada kelangsungan institusi pendidikan tinggi awam (IPTA).
Selama beberapa dekad, universiti awam berkembang dengan sokongan pembiayaan kerajaan yang konsisten. Model tersebut berjaya memperluaskan akses pendidikan tinggi kepada rakyat dan menyumbang secara signifikan kepada pembangunan modal insan negara. Namun, landskap pendidikan tinggi global hari ini jauh berbeza berbanding sebelumnya.
Ekonomi dunia menjadi semakin dinamik, teknologi berkembang dengan pantas dan keperluan industri berubah pada kadar yang sukar dijangka. Dalam persekitaran sebegini, universiti tidak lagi boleh bergantung sepenuhnya kepada model pembiayaan tradisional. Sebaliknya, perlu lebih tangkas menyesuaikan diri dengan perubahan.
Malah, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025 turut mengakui institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) masih bergantung secara signifikan kepada pembiayaan kerajaan. Walaupun sokongan tersebut akan terus menjadi komponen penting, namun universiti perlu memperkukuh sumber pendapatan alternatif bagi memastikan kelestarian jangka panjang.
Seperti yang pernah diungkapkan oleh Peter Drucker, “Bahaya terbesar dalam zaman penuh pergolakan bukanlah pergolakan itu sendiri, tetapi apabila kita bertindak menggunakan logik semalam.”
Bahaya sebenar bukanlah perubahan yang berlaku tetapi kegagalan untuk menyesuaikan diri dengannya. Dalam konteks pendidikan tinggi, mesej ini amat jelas. Universiti perlu berani berubah dan meneroka pendekatan baharu untuk memastikan kelangsungan serta daya saing institusi.
Atas sebab itu, agenda memperkukuh kelestarian kewangan universiti awam menjadi keperluan strategik. Universiti juga tidak boleh terus berfungsi sebagai ‘menara gading’ yang terpisah daripada keperluan masyarakat dan industri.
Dalam ekonomi berasaskan pengetahuan, universiti perlu memainkan peranan yang lebih luas daripada sekadar menghasilkan graduan dan menerbitkan penyelidikan. Institusi ini perlu menjadi sebahagian daripada ekosistem pembangunan negara yang menjana nilai ekonomi, sosial dan intelektual.
Namun demikian, beberapa persoalan penting masih perlu direnungkan bersama. Berapa banyak hasil penyelidikan yang berjaya diterjemahkan kepada produk, dasar atau penyelesaian yang memberi manfaat langsung kepada masyarakat dan industri? Berapa ramai graduan yang benar-benar bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan yang semakin kompleks?
Walaupun pelbagai usaha telah dilaksanakan, namun ruang untuk penambahbaikan masih terbuka luas. Justeru, transformasi yang diperlukan bukan sekadar perubahan kosmetik tetapi melibatkan struktur organisasi, budaya kerja dan cara berfikir institusi secara menyeluruh.
Universiti yang gagal menyesuaikan diri dengan perubahan semasa berisiko berdepan kekangan kewangan, kehilangan daya saing dan kesukaran memenuhi jangkaan masyarakat yang semakin tinggi.
Dalam usaha memperkukuh kedudukan kewangan universiti, penubuhan Unit Perniagaan Strategik (SBU) merupakan antara pendekatan yang semakin mendapat perhatian. Namun, kejayaannya tidak boleh diukur semata-mata berdasarkan jumlah pendapatan yang dijana.
Apa yang lebih penting ialah sejauh mana SBU mampu mengubah budaya organisasi supaya menjadi lebih proaktif, responsif dan berorientasikan peluang. SBU yang berkesan perlu berfungsi sebagai jambatan antara universiti dengan industri, komuniti dan pelbagai pihak berkepentingan.
Pada masa sama, unit ini perlu diberikan mandat yang jelas, tadbir urus yang baik serta sokongan institusi yang kukuh.
Dalam erti kata lain, SBU bukan sekadar mekanisme penjanaan pendapatan tetapi instrumen transformasi yang mampu memperkukuh hubungan universiti dengan dunia luar serta membuka ruang kepada penciptaan nilai yang lebih besar.
MENUJU UNIVERSITI KEUSAHAWANAN
Sarjana pendidikan tinggi, Burton R. Clark, menegaskan universiti moden perlu membangunkan budaya keusahawanan bagi membolehkan institusi bertindak dengan lebih lincah, inovatif dan berdaya saing.
Dalam dunia hari ini, universiti bukan sahaja bertanggungjawab menghasilkan ilmu tetapi juga memastikan ilmu tersebut diterjemahkan kepada manfaat yang boleh dirasai oleh masyarakat. Pendekatan ini menjadi semakin penting apabila universiti berdepan tuntutan untuk memberikan impak yang lebih besar kepada pembangunan negara.
Konsep tersebut turut diperincikan melalui Model Triple Helix yang diperkenalkan Henry Etzkowitz. Model itu menekankan kepentingan kerjasama erat antara universiti, industri dan kerajaan dalam membentuk ekosistem inovasi mampan.
Melalui pendekatan ini, universiti tidak lagi berfungsi secara bersendirian, sebaliknya menjadi rakan strategik kepada pembangunan ekonomi dan sosial negara.
Di Malaysia, beberapa universiti menunjukkan perkembangan positif ke arah tersebut. Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menerusi UTM Holdings dan UTM Venture aktif dalam aktiviti pengkomersialan teknologi serta perundingan.
Sementara Universiti Teknologi Mara (UiTM) pula memperkukuh peranannya melalui UiTM Holdings dalam pelbagai sektor strategik.
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) juga semakin agresif membangunkan kerjasama industri serta pengkomersialan hasil penyelidikan.
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) tidak terkecuali. Melalui Pelan Strategik UPNM 2025-2030 (UPNM30), agenda pengukuhan penjanaan pendapatan dikenal pasti sebagai antara fokus utama universiti.
Langkah ini mencerminkan kesedaran kelestarian institusi memerlukan pendekatan yang lebih pelbagai, mampan dan berdaya tahan.
KELESTARIAN KEWANGAN
Pakar pendidikan tinggi antarabangsa, Philip G. Altbach pula menegaskan universiti cemerlang memerlukan asas kewangan kukuh bagi mengekalkan mutu pengajaran, penyelidikan dan inovasi.
Institusi yang terlalu bergantung kepada satu sumber pembiayaan berisiko menghadapi keterbatasan dalam membuat keputusan strategik dan melaksanakan pembaharuan yang diperlukan. Oleh itu, universiti perlu meneroka pelbagai sumber pendapatan yang sah dan beretika, termasuk latihan profesional, pendidikan eksekutif, perundingan berasaskan kepakaran, pengkomersialan penyelidikan, pemindahan teknologi serta kerjasama strategik dengan industri.
Lebih penting, hasil yang diperoleh perlu dikembalikan kepada misi utama universiti melalui penambahbaikan kemudahan pembelajaran, biasiswa pelajar dan pembangunan penyelidikan berkualiti tinggi. Inilah yang dimaksudkan dengan daya tahan kewangan institusi.
Universiti terkemuka dunia telah lama membuktikan kelestarian kewangan memerlukan kepelbagaian sumber pendapatan. Sebagai contoh, dana endowmen Harvard University mencecah puluhan bilion dolar Amerika Syarikat dan menjadi antara sumber utama yang menyokong aktiviti akademik serta penyelidikan.
Di Asia, National University of Singapore (NUS) pula berjaya membangunkan jaringan kukuh antara universiti, industri dan alumni bagi memperkukuh sumber kewangannya.
Walaupun konteks Malaysia berbeza, namun prinsip asasnya tetap sama. Universiti yang mampan ialah universiti yang mempunyai pelbagai sumber kewangan dan tidak terlalu bergantung kepada satu saluran pembiayaan.
Selain sumber pendapatan konvensional, wakaf dan endowmen juga mempunyai potensi besar untuk diterokai. Dana yang berjaya dikumpulkan oleh universiti awam membuktikan bahawa masyarakat dan sektor korporat mempunyai kesediaan untuk menyumbang kepada pembangunan pendidikan tinggi negara.
Namun, kejayaan model tersebut memerlukan keyakinan masyarakat terhadap tadbir urus institusi, ketelusan pengurusan dana dan ekosistem dasar yang menyokong. Oleh itu, pembangunan wakaf dan endowmen perlu dilihat sebagai agenda bersama antara universiti, kerajaan, industri dan masyarakat.
Dalam usaha meningkatkan penjanaan pendapatan, universiti tidak boleh melupakan fungsi asasnya sebagai institusi awam yang berkhidmat kepada masyarakat.
Kelestarian kewangan dan tanggungjawab sosial tidak seharusnya dilihat sebagai dua agenda yang bertentangan. Sebaliknya, kedua-duanya perlu bergerak seiring bagi memastikan manfaat universiti dapat dinikmati oleh seluruh lapisan masyarakat.
Universiti awam Malaysia kini berada pada satu titik penting dalam sejarah perkembangannya.
Transformasi ini memerlukan komitmen kolektif seluruh ekosistem pendidikan tinggi negara.
Dalam dunia yang bergerak pantas, institusi yang memilih untuk menunggu selalunya akan ketinggalan.
Universiti awam Malaysia mempunyai sejarah yang membanggakan, namun masa hadapan tidak dibina atas kejayaan lampau semata-mata.
Jika transformasi ini dapat dilaksanakan secara bersepadu dan berani, universiti awam bukan sahaja mampu mencapai kelestarian kewangan yang lebih kukuh, malah berpotensi menjadi pemacu utama pembangunan negara, penghasilan ilmu dan pembinaan peradaban pada abad ke-21. –UTUSAN
DR. Mohd. Fadhzil Zainol ialah Pengarah Pusat Pengurusan, Pemasaran dan Endowmen, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).











