Sperma lelaki muda tidak berkualiti?

Sperma lelaki muda tidak berkualiti?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dahulu, masalah kesuburan lelaki sering dikaitkan dengan faktor usia, namun, realitinya semakin ramai golongan muda kini berdepan masalah tersebut.

Pensyarah Kanan Biokimia, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Faizul Jaafar berkata, kualiti air mani dan kesihatan sperma yang rendah boleh berlaku seawal usia 20-an.

Buktinya, kajian dijalankan pihaknya mendapati satu daripada 10 lelaki muda mempunyai kualiti air mani yang rendah.

Lebih membimbangkan, kebanyakan mereka kelihatan sihat dari segi fizikal termasuk memiliki indeks jisim badan (BMI) normal.

“Dapatan ini mencabar tanggapan umum yang lelaki dengan BMI normal mempunyai tahap kesihatan reproduktif baik.

“Ia menunjukkan kesihatan lelaki tidak boleh dinilai berdasarkan berat badan, bentuk tubuh atau tahap kecergasan luaran semata-mata.

“Kesihatan reproduktif juga perlu diberi perhatian kerana ia merupakan sebahagian daripada kesihatan menyeluruh,” katanya baru-baru ini.

Situasi sama turut dilaporkan di China dan Switzerland apabila kajian mendapati sekitar 58 hingga 62 peratus lelaki muda menunjukkan tahap kualiti air mani yang membimbangkan.

Antara faktor yang mempengaruhi keadaan itu ialah perubahan hormon, tekanan psikologi serta gaya hidup tidak sihat seperti masalah tidur, pemakanan tidak seimbang, merokok dan obesiti.

Faktor lain yang turut memberi kesan termasuk pendedahan kepada haba berlebihan seperti penggunaan sauna secara kerap, pemakaian seluar dalam ketat, penyalahgunaan dadah, kurang aktiviti fizikal dan penyakit kronik.

Ini bermakna sperma tidak sihat mungkin menjadi isyarat awal tubuh lelaki sedang berdepan masalah kesihatan yang belum nampak secara luaran.

Awalkan pendidikan reproduktif

Sehubungan itu, Faizul menggesa pendidikan kesihatan reproduktif lelaki dimulakan lebih awal memandangkan penurunan kualiti sperma dalam kalangan orang muda kini bukan lagi isu terpencil.

“Di Malaysia, kesihatan reproduktif lelaki masih dianggap sebagai topik sensitif, manakala hal-hal kesuburan hanya mula diberi perhatian selepas berkahwin.

“Situasi ini menjadi lebih mencabar berikutan peningkatan trend berkahwin lambat dalam kalangan generasi muda sekali gus menyebabkan masalah kesuburan hanya dikesan pada peringkat lebih lewat.

“Sedangkan, masalah itu sebenarnya mungkin telah wujud sejak usia muda,” katanya.

Lebih menyedihkan, masyarakat masih cenderung meletakkan beban kesuburan kepada wanita sehingga mereka sering menjadi pihak pertama yang diperiksa, dipersoalkan atau dipersalahkan, sekali gus mencetuskan tekanan emosi, stigma keluarga dan beban kewangan.

Naratif itu perlu diubah kerana kesuburan adalah tanggungjawab bersama dan lelaki usah malu atau ego untuk membuat pemeriksaan kesihatan.

Katanya, pemeriksaan awal bukan petanda lemah tetapi melambangkan kematangan, tanggungjawab dan kesedaran terhadap masa depan keluarga.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×