Perjanjian tenaga Malaysia-Russia stabilkan harga minyak

Perjanjian tenaga Malaysia-Russia stabilkan harga minyak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perjanjian bekalan tenaga jangka panjang antara Malaysia dan Russia dijangka membawa kestabilan kepada harga petrol, diesel serta gas asli, sekali gus mengurangkan tekanan terhadap ekonomi negara yang sering terkesan oleh konflik geopolitik dan ketidaktentuan pasaran global.

Pensyarah dan penyelidik Fakulti Kejuruteraan Elektrik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Ir. Ts. Dr. Jasrul Jamani Jamian berkata, kerajaan berpotensi mengurangkan perbelanjaan subsidi serta kestabilan bekalan jika Malaysia memperoleh bekalan petrol, diesel dan gas asli pada harga yang lebih rendah menerusi perjanjian itu.

Beliau berkata, ia sekali gus mewujudkan limpahan manfaat kepada ekonomi negara serta meningkatkan kuasa beli rakyat.

“Secara umum perjanjian 20 tahun ini merupakan perjanjian jangka masa panjang, bermakna secara tidak langsung ia akan memberi kestabilan kepada harga petrol dan diesel. Perjanjian ini juga merangkumi tentang gas asli, di mana ia akan digunakan bagi penjanaan elektrik. Malaysia masih bergantung tinggi kepada gas asli maka perjanjian 20 tahun secara tidak langsung dapat menstabilkan kos bahan api yang digunakan untuk menjana elektrik.

“Melalui perjanjian ini sekiranya Malaysia mendapat harga yang murah, maka secara tidak langsung ia memberi kesan kepada subsidi yang ditanggung kerajaan, malah ia dapat memberi kesan kepada ekonomi rakyat Malaysia

“Bagaimanapun, ia tidak menjanjikan harga murah, namun harga kita akan stabil kerana bekalan kita tidak dipengaruhi oleh geopolitik yang berlaku di dunia. Jadi, ia adalah kelebihan kepada Malaysia sekiranya perjanjian itu berjaya mendapatkan harga yang murah untuk tempoh 20 tahun,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Malaysia memperoleh jaminan penting daripada Russia apabila Presiden Vladimir Putin, memberi komitmen untuk memastikan bekalan petrol, gas dan diesel ke negara ini kekal terjamin menerusi kerjasama jangka panjang yang mampu menjangkau sekurang-kurangnya 20 tahun.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jaminan itu dicapai hasil pertemuan beliau dengan Putin ketika lawatan kerja ke Kazan, Tatarstan, Russia sempena Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Russia ke-35, baru-baru ini.

Katanya, persefahaman tersebut menjadi antara pencapaian terbesar lawatan berkenaan kerana mampu memperkukuh keselamatan tenaga negara pada masa depan ketika dunia terus berdepan ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi.

Jasrul Jamani berkata, dari sudut penjanaan elektrik, Malaysia melalui Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) sememangnya sedang berusaha meningkatkan penggunaan tenaga boleh baharu, khususnya solar fotovoltaik (PV) dalam campuran penjanaan elektrik negara.

“Tempoh 20 tahun ini secara tidak langsung memberi jaminan bahawa sumber penjanaan berasaskan gas asli akan sentiasa mencukupi, ketika negara sedang dalam proses mengurangkan kebergantungan terhadap arang batu dan juga gas,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×