Takut komitmen besar, lebih pilih menyewa

Takut komitmen besar, lebih pilih menyewa

GAMBAR HIASAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DAHULU memiliki rumah sendiri dianggap pencapaian awal dewasa dan ramai generasi terdahulu mampu membeli rumah pertama dengan satu pendapatan serta seorang peminjam.

Namun, generasi muda hari ini berdepan realiti berbeza. Harga rumah meningkat lebih cepat daripada pendapatan, menyukarkan mereka mengumpul wang pendahuluan, memenuhi syarat pinjaman dan menanggung komitmen jangka panjang.

Akibatnya, perjalanan memiliki rumah kini berubah apabila ramai bermula dengan menyewa bilik, kemudian menyewa rumah selepas berkeluarga dan hanya membeli rumah pada usia lebih lewat.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pekerja swasta, Nurhaliesa Abdul Halim berkata, keadaan ekonomi semasa menyebabkan ramai memilih untuk menyewa terlebih dahulu berbanding membeli rumah sendiri, apatah lagi dengan gaji sedia ada yang hanya cukup-cukup untuk menampung perbelanjaan isi rumah.

“Ini lebih kepada pilihan. Kalau digabungkan gaji suami isteri, memang mampu untuk beli rumah. 

“Tetapi bila sudah ada komitmen rumah, kita terpaksa mengurangkan perbelanjaan lain, termasuk gaya hidup seperti membeli-belah. Jadi kami pilih untuk sewa dulu,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Beliau berkata, kos menyewa rumah lot ketika ini sekitar RM650 sebulan, jauh lebih rendah berbanding bayaran ansuran rumah yang dianggarkan mencecah kira-kira RM1,500 sebulan.

“Daripada situ, kami dapat jimat hampir separuh dan lebihan itu boleh digunakan untuk keperluan lain,” jelasnya.

Dalam masa sama, beliau mengakui masih merancang untuk membeli rumah sendiri dan kini sedang membuat tinjauan beberapa pilihan perumahan.

“Tetapi, dengan pendapatan isi rumah yang masih di bawah RM3,000 ini  menjadi kekangan utama untuk kami. 

“Niat (beli rumah baharu) itu memang ada, tapi dengan gaji sekarang agak susah sedikit, jadi terpaksa ditangguhkan dahulu,” katanya.

Beliau menjangkakan hasrat untuk memiliki rumah sendiri hanya dapat direalisasikan dalam tempoh kira-kira tiga tahun lagi, bergantung kepada keadaan kewangan pada masa akan datang.

Sementara itu, pekerja swasta, Abd. Halim @ Artlim berkata, pilihan untuk menyewa merupakan satu keputusan yang dibuat secara sedar, bukan semata-mata terpaksa. 

“Saya masih mempertimbangkan komitmen kewangan yang tinggi jika membeli rumah yang berkemungkinan membebankan sekiranya masih dalam fasa kerjaya yang tidak stabil dari segi lokasi. 

“Selain itu, keputusan untuk menyewa rumah atau bilik ini sebenarnya banyak dipengaruhi oleh faktor pekerjaan yang memerlukan pertukaran lokasi dari semasa ke semasa. 

“Keadaan ini menyukarkan saya untuk menetap di satu tempat secara kekal, maka pilihan menyewa dilihat lebih praktikal berbanding membeli rumah,” katanya. 

Dari sudut penjimatan, beliau berpendapat perbezaan antara menyewa dan membeli rumah adalah lebih kurang “50/50”. 

“Ini kerana walaupun menyewa tidak memerlukan komitmen pinjaman jangka panjang, kadar sewa yang mungkin meningkat setiap tahun serta ketidaktentuan kadar faedah pinjaman bank  menyebabkan kos jangka panjang boleh menjadi hampir sama.

“Walau bagai­ma­na­pun, saya masih bercita-cita untuk memiliki rumah sendiri tetap ada. Setiap individu sememangnya mempunyai impian untuk memiliki kediaman sendiri sebagai persediaan masa depan, khususnya untuk berkeluarga dan kehidupan hari tua,” ujarnya. 

Dalam pada itu, pekerja swasta, Aiman Harris berkata, beliau memilih untuk menyewa kerana ia lebih mudah mengurus kewangan, memandangkan pendapatannya masih rendah. 

Menurutnya, keputusan itu juga dibuat secara terpaksa kerana kurang pengetahuan mengenai urusan tanah serta proses pembelian rumah yang dianggap agak rumit bagi dirinya ketika ini. 

“Keadaan itu menyebabkan saya lebih selesa untuk menangguhkan hasrat membeli rumah dan memilih pilihan menyewa sebagai langkah yang lebih selamat dan mudah diurus, khususnya dari segi komitmen kewangan bulanan.

“Ini kerana lebih 50 peratus gaji saya digunakan untuk sewa, manakala bakinya boleh disimpan sebagai simpanan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau masih menyimpan hasrat untuk memiliki rumah sendiri, tetapi bukan dalam masa terdekat, sebaliknya selepas kewangan lebih stabil dan pendapatan meningkat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini