SEREMBAN: Pembangunan negara menerusi kemajuan teknologi dan pertumbuhan ekonomi juga perlu disertai dengan pengukuhan nilai dan akhlak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kemajuan kecerdasan buatan (AI), transformasi digital dan pertumbuhan ekonomi merupakan agenda yang turut menjadi tumpuan negara lain.
Namun Malaysia perlu menampilkan kelainan menerusi pembinaan masyarakat yang berteraskan nilai, integriti dan akhlak.
“Semua negara bercakap tentang AI, transformasi digital, peralihan tenaga dan pertumbuhan ekonomi. Kita juga berbicara perkara yang sama, tetapi kita juga mesti berbicara soal nilai dan akhlak,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Himpunan Pertubuhan Lima Generasi (PLG) Malaysia di sini, malam ini.
Pada masa sama, Perdana Menteri turut mengingatkan rakyat supaya sentiasa melakukan muhasabah diri bagi membentuk masyarakat yang lebih berakhlak serta bebas daripada sifat sombong, zalim dan tamak.
Anwar berkata, perubahan yang ingin dicapai dalam negara perlu bermula dengan pembentukan peribadi yang baik sebelum diterjemahkan kepada usaha membangunkan masyarakat dan negara.
“Kalau mahu perubahan, ubah daripada diri kita. Mula daripada diri, keluarga dan masyarakat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau juga menyeru golongan muda agar tampil memainkan peranan dalam membawa perubahan positif demi masa depan negara serta meneruskan agenda reformasi yang memberi manfaat kepada rakyat.
“Anak-anak muda mesti turun ke gelanggang untuk menunjukkan bahawa kita mempunyai kekuatan membawa perubahan ke arah kebaikan dan reformasi,” katanya.
Anwar dalam pada itu berkata, rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini perlu menolak sentimen kebencian serta perpecahan yang hanya menguntungkan pihak tertentu.-UTUSAN.











