Gelombang haba kedua ragut nyawa pertama di Perancis - Utusan Malaysia

Gelombang haba kedua ragut nyawa pertama di Perancis

SEORANG lelaki menyejukkan badan di sebuah pancutan air minuman awam di Paris, kelmarin. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Seorang lelaki berusia 30 tahun meninggal dunia di trek olahraga di luar Paris kelmarin, ketika gelombang haba baharu melanda sebahagian besar Perancis, menyebabkan puluhan perkhidmatan kereta api dibatalkan dan sesi persekolahan digantung.

Menurut pihak bomba, mang­sa dipercayai mengalami serangan jantung di trek olahraga di Ermont, pinggir utara Paris pada pagi Khamis.

Walaupun musim panas hanya bermula pada Ahad, ini merupakan gelombang haba kedua di Perancis pada 2026 selepas cuaca panas ekstrem melanda Mei lalu yang memecahkan rekod suhu di hampir separuh negara itu.

Satu perempat wilayah Perancis, termasuk Paris, diletakkan di bawah amaran jingga, iaitu tahap amaran kedua ter­tinggi, dengan pihak berkuasa menggesa penduduk supaya ‘berwaspada’.

Pada Jumaat, lebih separuh daripada negara itu dijangka berada di bawah amaran jingga.

Agensi meteorologi kebangsaan, Meteo-France, menyifatkan gelombang haba itu sebagai ‘meluas, berpanjangan dan kuat’.

Fenomena cuaca panas eks­trem itu dijangka berterusan hingga minggu depan, dengan kemuncaknya diramal berlaku pada Ahad atau Isnin apabila suhu boleh mencecah sehingga 40 darjah Celsius di beberapa wilayah, termasuk ibu negara Perancis.

Fenomena solstis musim panas pada Ahad, yang merupakan hari paling panjang dalam setahun, dijangka memperhebatkan lagi peningkatan suhu dengan tempoh cahaya matahari berpanjangan.

Datuk bandar di seluruh Perancis, yang masih mempunyai banyak bangunan sekolah tidak dilengkapi kemudahan mencukupi menghadapi cuaca panas melampau, dijangka membuat keputusan sama ada untuk menggantung sesi persekolahan.

Sejumlah sekolah mengumumkan perubahan jadual pembelajaran bermula petang Khamis susulan gelombang haba itu, menurut pihak berkuasa pendidikan, kesatuan sekerja dan dokumen yang diteliti AFP.

Kira-kira 10 sekolah menengah rendah mengubah aturan persekolahan bagi Kha­mis dan Jumaat di Paris.

Datuk Bandar Tours di Lembah Loire, Emmanuel Denis berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak menutup semua 58 institusi pendidikan di bawah pentadbirannya jika suhu terlalu tinggi.

Ketika gelombang haba melanda Perancis pada Jun tahun lalu, kira-kira 2,200 sekolah di seluruh negara terpaksa ditutup. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×