PETALING JAYA: Wilayah Gaza yang sebelum ini seluas 330 kilometer (km) persegi itu kini semakin mengecil apabila Israel secara diam mengambil alih lebih 60 peratus tanah Palestin berkenaan meskipun wujud gencatan senjata antara Hamas dengan rejim Zionis.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Al-Quds Malaysia, Dr. Sharif Abu Shammala berkata, Israel masih meneruskan usaha perluasan kawasan kawalannya di Gaza yang sehingga kini mencapai 60 peratus daripada keseluruhan wilayah tersebut.
Katanya, ‘mimpi ngeri’ akan terus menghimpit rakyat Palestin di Gaza apabila Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu merancang untuk meningkatkan kawasan kawalan mencapai 70 peratus.
“Ini bermakna kira-kira dua juta rakyat Palestin di Gaza terpaksa berhimpit dalam hanya 30 peratus baki tanah di wilayah itu iaitu sekitar 110 km persegi sahaja.
“Mereka kini hanya berlindung di bawah khemah plastik yang bertukar sifat setiap kali perubahan musim di Gaza.
“Apabila tiba musim panas, khemah itu bertukar menjadi ketuhar, apabila musim sejuk ia menjadi peti sejuk dan apabila musim hujan, ia bertukar menjadi ‘kolam renang’,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dr. Sharif berkata, gencatan senjata dicapai langsung tidak menghentikan tindakan tidak berperikemanusiaan Zionis terhadap Gaza apabila angka kematian sentiasa meningkat bahkan kini sudah mencapai 73,000 orang.
“Jumlah korban sejak gencatan senjata pada 10 Oktober tahun lalu telah mencecah 1,000 nyawa. Kebanyakannya terdiri daripada wanita dan kanak-kanak,” katanya.
Mengulas lanjut, Dr. Sharif yang merupakan warga Palestin berkata, keadaan penduduk di Gaza kini sangat kritikal akibat sekatan bantuan kemanusiaan yang masih dilaksanakan rejim Zionis terhadap wilayah tersebut.
“Krisis air masih berterusan apabila rejim penjajah menghalang kemasukan bahan api yang diperlukan untuk mengendalikan loji penapisan air serta kenderaan pengangkutan air. Selain itu, alat ganti dan keperluan bagi loji-loji air juga tidak dibenarkan masuk.
“Pintu sempadan masih ditutup kepada pesakit dan mangsa yang cedera akibat genosid, menyebabkan ramai daripada mereka meninggal dunia kerana tidak dapat menerima rawatan sewajarnya,” katanya.
Beliau berkata, hospital dan farmasi berdepan kekurangan ubat-ubatan yang serius akibat larangan Israel terhadap kemasukan rawatan dan bekalan perubatan sekali gus mengancam nyawa puluhan ribu pesakit serta menyumbang kepada penularan penyakit kulit berbahaya.
“Kanak-kanak merupakan golongan paling terjejas, sama ada akibat kematian dan kecederaan, trauma psikologi, kekurangan zat makanan, kehilangan akses kepada pendidikan mahupun perkhidmatan kesihatan,” katanya. – UTUSAN










