LONDON: United Kingdom (UK) telah digantung tugas selepas didakwa menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk memalsukan bahan bukti dalam beberapa kes jenayah.
Anggota yang tidak didedahkan identitinya itu berkhidmat dengan Pasukan Polis Derbyshire.
Susulan dakwaan itu, dia telah dilucutkan daripada tugas operasi dan kini berada di bawah siasatan jenayah atas tuduhan sengaja memesongkan proses keadilan, meskipun tiada sebarang tangkapan dibuat setakat ini.
Media Britain melaporkan bahawa anggota itu dituduh mempergunakan teknologi AI bagi mencipta bahan bukti dalam beberapa buah kes.
Memetik laporan The Telegraph, Pasukan Polis Derbyshire kini sedang bekerjasama rapat dengan Perkhidmatan Pendakwaan Mahkota (CPS) bagi mengenal pasti sama ada terdapat kes jenayah sedia ada yang telah terjejas akibat tindakan tersebut.
Sehingga kini, pihak berkuasa tempatan masih belum mengumumkan jumlah sebenar kes yang berkemungkinan terkesan akibat salah laku anggota itu..
Jurucakap Polis Derbyshire ketika bercakap kepada Financial Times mengesahkan perkara itu berkata, siasatan jenayah telah dilancarkan berhubung dakwaan memesongkan proses keadilan susulan tindakan pegawai itu.
Kenyataan senada turut dizahirkan oleh jurucakap CPS kepada akhbar The Guardian bahawa pihaknya sedang bekerjasama dengan polis Derbyshire yang kini sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan penggunaan AI oleh seorang anggota.
“Kami sedang berhubung dengan pasukan pembelaan dan mahkamah dalam kes-kes yang berkaitan. Memandangkan siasatan polis masih berjalan, adalah tidak wajar untuk kami mengulas lanjut,” katanya. – AGENSI










