Adab rakan Melayu tarik Yuk Keng dalami Islam

Adab rakan Melayu tarik Yuk Keng dalami Islam

SITI Aisyah Umairah Tan Abdullah kini bekerja sebagai pemandu bot selepas memeluk Islam sejak 14 tahun lalu dan menetap di Merang, Setiu, Terengganu. -UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIU: Persahabatan dengan rakan beragama Islam sejak kecil menjadi titik permulaan perubahan hidup seorang wanita mualaf mendalami agama itu.

Siti Aisyah Umairah Tan Abdullah, 40, atau Tan Yuk Keng bertekad berhijrah daripada agama asalnya dengan mengucap syahadah pada 23 November 2013.

Aisyah yang berasal dari Ra­wang, Selangor berkata, dia sebelum ini beragama Buddha dan mula terpikat dengan Islam selepas melihat adab rakan-rakan Melayu sejak bergaul dengan mereka di bangku sekolah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Meskipun bersekolah rendah di sekolah jenis kebangsaan Cina, saya berdepan pengalaman dibuli kerana berketurunan campuran Cina dan India. Jadi saya lebih fokus kepada pelajaran sebab faham keluarga saya orang susah.

“Apabila masuk sekolah menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Garing, saya mula rapat dengan dua rakan yang dikenali sebagai Rabiatul dan Maisarah yang banyak membantu saya dalam pelajaran,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Merang, di sini.

Siti Aisyah Umairah Tan ber­kata, sejak kecil dia sudah bia­sa bergaul dengan ma­syarakat Islam termasuk ketika menetap di Terengganu 14 tahun lalu sehingga hatinya terbuka untuk mengenali Islam dengan lebih dekat.

Selain faktor hidayah, dia turut tertarik dengan konsep ketuhanan dalam Islam yang menekankan keesaan Allah SWT serta keindahan ajaran agama itu.

Katanya, dia banyak mempelajari tentang al-Quran dan mengkajinya sendiri serta pembacaan bahan ilmiah mengenai Islam.

Menurut anak sulung daripada dua beradik itu, keputusan memeluk Islam dibuat atas kerelaan sendiri tanpa bantuan mana-mana pihak.

Katanya, cabaran yang dihadapi selepas memeluk Islam tidak terlalu besar namun mengambil masa untuk mendalami ilmu agama termasuk belajar mengaji.

Mengimbas kembali pe­nerimaan keluarga akan keputusannya memeluk Islam, katanya, pada awalnya agak sukar apabila beberapa saudara-mara dan adik lelakinya tidak dapat menerima keputusannya.

“Masa saya peluk Islam, ayah baru meninggal dunia lapan hari. Emak pula mengalami masalah hilang ingatan, jadi saya tidak dapat memberi­tahunya. Saudara-mara dan adik lelaki marah serta tidak boleh terima namun saya sabar menghadapi semua itu,” katanya.

Katanya, dia juga sudah biasa bertudung sebelum memeluk Islam kerana nenek angkatnya yang beragama Islam sering memakaikannya tudung ketika membantu bekerja di kebun bunga milik keluarga.

Kini menetap di Merang, wanita itu bersyukur kerana kehidupannya lebih tenang selepas memeluk Islam dan ber­azam untuk terus mendalami ilmu agama demi menjadi Muslimah yang lebih baik.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini