KUALA TERENGGANU: Dedikasi lebih tujuh dekad dalam bidang pendidikan al-Quran melayakkan anak jati Bukit Payung, Marang, dekat sini, Jusoh Ismail, 95, dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Terengganu sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri 1448H/2026M, di sini semalam.
Bapa kepada lima orang anak, 26 cucu dan 17 cicit itu mula terlibat dalam bidang pendidikan agama sejak usia 22 tahun dan sehingga kini masih aktif mengajar al-Quran secara talaqqi sama ada di rumah mahupun menerusi telefon.
“Alhamdulillah, semua usaha yang dilakukan selama ini hanyalah untuk menyebarkan ilmu al-Quran dan mendidik masyarakat agar lebih dekat dengan kitab suci ini.
“Al-Quran perlu dipelajari dengan berguru kerana ia mempunyai kaedah dan disiplin tersendiri terutama dalam bacaan serta tajwid,” katanya selepas menerima hadiah disampaikan Menteri Besar , Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar pada majlis berkenaan.
Beliau yang dikenali dengan panggilan Tuan Guru menerima piala, sijil penghargaan dan cek contoh bernilai RM20,000.
Menurut Jusoh, penglibatannya dalam bidang al-Quran merangkumi pelbagai peranan termasuk sebagai tenaga pengajar, penceramah, penganjur kursus tajwid kepada guru-guru agama di seluruh negara serta hakim pertandingan tilawah dan hafazan al-Quran peringkat kebangsaan selama 22 tahun bermula 1997 hingga 2007.
Beliau yang kini memegang jawatan Syeikhul Qurra’ ketiga Persatuan Qurra Terengganu sejak 2004 turut meneruskan legasi kepemimpinan al-Quran negeri yang diasaskan oleh Tuan Guru Haji Mat Lintar.
Mengulas mengenai faktor yang membolehkannya terus aktif pada usia lanjut, beliau berkata, amalan membaca al-Quran secara konsisten membantu menguatkan daya ingatan serta memelihara kesihatan rohani.
“Banyak membaca al-Quran, insya-Allah ingatan akan dipelihara Allah. Al-Quran adalah panduan hidup yang sempurna untuk dunia dan akhirat,” katanya.
Beliau turut menasihati generasi muda supaya mempelajari dan menghayati al-Quran sebagai bekalan kehidupan.
“Belajarlah al-Quran dan ajarkannya kepada orang lain. Jika kita menjaga al-Quran, insya-Allah al-Quran akan menjaga kita,” ujarnya.
Pada majlis sama, Tokoh Dakwah Maal Hijrah dianugerahkan kepada pendakwah terkenal, Azhar Idrus, 62, yang menerima wang tunai RM10,000 beserta sijil penghargaan.
Beliau merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri yang sentiasa memberi ruang dan peluang untuknya menyampaikan dakwah kepada masyarakat.-UTUSAN.











