Lelaki California dituduh kumpul dana untuk Hamas

Lelaki California dituduh kumpul dana untuk Hamas

YAHYA Sinwar (tengah) melambai tangan kepada penyokongnya semasa perhimpunan sempena ulang tahun ke-35 Hamas di Gaza, pada 14 Disember 2022.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Seorang lelaki di California didakwa mengumpul dana berjumlah kira-kira AS$600,000 (RM2.4 juta) melalui badan amal palsu sebelum menyalurkan sebahagiannya kepada Hamas, menurut pendakwa raya persekutuan Amerika Syarikat (AS) semalam.

Pejabat Peguam AS bagi Daerah Selatan New York dalam satu kenyataan berkata, Reda Mazen Rida Sabassi, 38, berdepan pelbagai pertuduhan termasuk berkaitan keganasan, mengelak sekatan ekonomi, penipuan pemindahan wang elektronik, pengubahan wang haram dan membuat kenyataan palsu.

Menurut pihak pendakwaan, penduduk San Diego itu menggunakan media sosial serta platform kutipan dana dalam talian untuk mengumpul sumbangan dengan mendakwa wang berkenaan akan digunakan bagi membantu penduduk Gaza.

Bagaimanapun, dana yang dikutip didakwa diselewengkan untuk membiayai Hamas selain digunakan bagi kepentingan peribadinya.

Sabassi juga dituduh secara terbuka menyatakan sokongan kepada Hamas di internet dan menghasilkan video propaganda berdurasi kira-kira sejam bagi menggalakkan orang ramai menderma susulan serangan kumpulan itu ke atas Israel pada 2023.

Pendakwa raya berkata, dalam tempoh beberapa bulan selepas serangan itu, Sabassi berjaya mengumpul sekitar AS$600,000 menerusi beberapa kempen kutipan dana dalam talian.

Daripada jumlah tersebut, kira-kira AS$116,000 (RM474,000) didakwa disalurkan kepada seorang anggota Hamas, manakala beliau turut dituduh cuba memindahkan tambahan AS$382,000 (RM1.5 juta) dalam bentuk mata wang kripto kepada kumpulan itu.

Sabassi ditahan di San Diego pada Selasa dan dihadapkan ke mahkamah persekutuan di California.

Jika didapati bersalah atas semua pertuduhan, beliau berdepan hukuman maksimum sehingga 85 tahun penjara.

Aduan setebal 35 halaman itu mendakwa Sabassi ialah ‘warganegara AS yang fasih berbahasa Arab”, serta gambar profil salah satu akaun X miliknya kelihatan seperti gambar (Yahya) Sinwar, bekas pemimpin Hamas yang terbunuh sekitar 16 Oktober 2024 oleh tentera Israel.

Menurut aduan lima pertuduhan yang dibuka itu, pihak pendakwa turut menyatakan sejarah carian Sabassi termasuk frasa seperti ‘kripto Hamas’ dan ‘Adakah dompet kripto menjejak IP anda’.

Serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023 mengakibatkan 1,221 kematian, menurut kiraan AFP berdasarkan angka rasmi Israel.

Keganasan berterusan di Gaza sejak serangan itu, dengan lebih 72,200 rakyat Palestin dilaporkan terbunuh sejak konflik bermula, menurut Kementerian Kesihatan Gaza yang beroperasi di bawah pihak berkuasa Hamas, dan angka tersebut dianggap boleh dipercayai oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×