BATU PAHAT: “Sebelum ini suami tak pernah tertekan, kami bahagia dan mampu tunaikan permintaan anak-anak. Namun, keadaan berubah apabila satu persatu masalah menimpa sejak awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu yang menyebabkan dia hilang kerja”.
Demikian menurut seorang suri rumah, Natashakilla Zulku, 27, yang kini merasakan dunianya gelap seketika setelah suami tercinta yang selama ini menjadi tonggak utama keluarga disahkan menghidap penyakit mental ketika mereka sedang membesarkan empat anak lelaki berusia 2 hingga 11 tahun.
Berkongsi kisah itu, Natashakilla berkata, dia tidak pernah menyangka suaminya, Khairul Kasmon, 35, kini berubah kepada personaliti berbeza berikutan lelaki yang dikahwininya itu sejak lebih 11 tahun lalu sentiasa positif dan ceria bersama anak-anak mereka.
“Suami pada mulanya diuji dengan kehilangan ibunya, tidak lama kemudian, nenek saya meninggal dunia dan sewaktu negara dilanda PKP sektor pekerjaan suami pula dihentikan sementara.
“Kami juga berhadapan masalah kereta yang rosak dan memerlukan modal sangat tinggi untuk membaikinya selain saya pula ketika itu baru melahirkan anak bongsu, jadi suami mulai kelihatan tertekan kerana merasakan beban besar yang perlu dihadapinya,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Kisah Natashakilla mula mendapat perhatian ketika dia meninggalkan komen di Facebook mengenai kehidupan dialami mereka lima beranak selepas suaminya tidak mendapat pekerjaan sejak PKP dan lelaki itu tidak tidur selama empat hari empat malam serta solat sehingga tujuh rakaat.
Menurut Natashakilla, suaminya yang sebelum ini bekerja kontrak sebagai pemandu jengkaut hanya bergantung kepada bayaran gaji harian dan sumber kewangan mereka terputus berikutan pelaksanaan PKP fasa pertama.
“Sejak itu suami mula murung, solat pun tak ingat dah rakaat ke berapa, bercakap seorang diri. Saya mulai risau dan hubungi klinik desa berhampiran, jururawat mencadangkan agar suami dibawa ke klinik untuk rawatan,” ujarnya
Tambahnya, sebaik dihantar ke wad psikiatri di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar, doktor mengesahkan suaminya mengalami kemurungan melampau dan perlu mendapat rawatan.
Katanya, doktor memberi pilihan sama ada membawa suaminya pulang namun perlu dipantau ketat seperti pengambilan ubat-ubatan mengikut jadual dan sentiasa bijak menenangkan emosinya atau meninggalkan suami di hospital.
“Saya tak sanggup nak biarkan dia di hospital kerana dia terlalu sayangkan anak-anak. Akhirnya saya buat keputusan untuk menjaga dan belajar melayani setiap permintaannya. Sehingga kini, setiap kali kami pergi mendapatkan rawatan, suami seolah-olah berada di dunianya sendiri apabila jawapan yang diberikan kepada doktor adakalanya tidak masuk akal.
“Contoh doktor tanya usia anak, jawapannya memang tak tepat. Doktor sering tanya adakah dia punya ibu lagi, dia jawab masih ada walhal ibunya sudah meninggal dunia,” katanya.
Natashakilla berkata, dia bersyukur kerana keluarga mentua banyak membantu selain terharu dengan bantuan ramai pihak yang simpati dengan kisah mereka di Facebook. – UTUSAN ONLINE










