SEOUL: Kerajaan Korea Selatan akan melonggarkan sekatan ke atas orang awam di kawasan berhampiran sempadan Korea Utara, sekali gus membolehkan mereka berada beberapa kilometer lebih dekat dengan lokasi berkenaan yang dikawal ketat.
Kedua-dua negara Korea secara teknikal masih berada dalam keadaan perang kerana konflik 1950 hingga 1953 berakhir dengan perjanjian gencatan senjata dan bukannya perjanjian damai.
Dua negara itu dipisahkan oleh Zon Bebas Tentera (DMZ) yang menjadi laluan sempadan antara kedua-dua negara.
Sebelum ini, Garisan Kawalan Awam (CCL) mengehadkan akses orang awam ke kawasan dalam lingkungan 10 kilometer di selatan sempadan yang diperkukuh dengan kawalan ketenteraan bagi melindungi kemudahan strategik.
Menurut Menteri Pertahanan Korea Selatan, Ahn Gyu-back, CCL akan dipendekkan kepada purata enam kilometer, sekali gus memberi lebih banyak akses kepada penduduk kampung, petani dan pelawat ke kawasan berkenaan.
Beliau berkata, langkah baharu itu bertujuan meningkatkan kemudahan penduduk setempat tanpa menjejaskan keberkesanan operasi ketenteraan.
Perubahan itu turut merangkumi perlonggaran ketara prosedur kelulusan penerbangan bagi dron pertanian.
“Kami akan membolehkan pembangunan wilayah dilaksanakan selagi ia tidak mengganggu operasi ketenteraan,” katanya.
Tahun lalu, Korea Selatan menanggalkan pembesar suara yang digunakan untuk menyiarkan muzik K-pop dan siaran berita ke Korea Utara sebagai sebahagian usaha kerajaan pimpinan Presiden, Lee Jae-myung untuk meredakan ketegangan dengan negara jiran bersenjata nuklear itu.
Di bawah pentadbiran bekas Presiden, Yoon Suk-yeol yang lebih tegas terhadap Pyongyang, Korea Utara pernah menyiarkan bunyi-bunyi ganjil dan mengganggu merentasi sempadan sehingga menimbulkan ketidakselesaan kepada penduduk di kawasan berhampiran.-AFP










