Trump kritik taktik serangan Israel di Lubnan

Trump kritik taktik serangan Israel di Lubnan

PASUKAN tentera Lubnan berkawal di kampung Bir al-Salasel yang musnah akibat serangan Israel.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump melempar kritikan terbuka terhadap taktik ketenteraan Israel di Lubnan yang menyasarkan pejuang Hizbollah, menegaskan tentera rejim tidak perlu memusnahkan keseluruhan bangunan pangsapuri semata-mata untuk memburu anggota kumpulan itu.

Trump sejak beberapa hari lalu menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap serangan Israel di Beirut yang dikhuatiri boleh menjejaskan usaha memuktamadkan perjanjian damai dengan Iran.

Menurut Reuters, beliau turut menegaskan Israel sudah terlalu lama berperang dengan Hizbollah dan banyak nyawa orang awam terkorban akibat tindakan itu.

“Terlalu ramai orang terbunuh. Anda tidak perlu meruntuhkan sebuah bangunan pangsapuri setiap kali mencari seseorang kerana terdapat ramai penghuni di bangunan itu dan bukan semuanya anggota Hizbollah,” katanya ketika menghadiri Sidang Kemuncak Kumpulan Tujuh (G7) di Perancis.

Kenyataan itu dibuat ketika hubungan beliau dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dilaporkan semakin tegang walaupun kedua-duanya lama menjadi sekutu politik rapat.

Kebelakangan ini, ketegangan semakin ketara apabila pegawai Israel dilaporkan tidak berpuas hati dengan perjanjian yang dicapai Trump dengan Iran.

Trump berkata, beliau mempunyai hubungan yang baik dengan Netanyahu, namun menegaskan pemimpin Israel itu perlu menunjukkan sikap yang lebih bertanggungjawab dalam isu Lubnan.

“Saya mempunyai hubungan yang sangat baik dengannya, tetapi beliau perlu lebih bertanggungjawab terhadap Lubnan.

“Tanpa kami, tanpa AS, tidak akan wujud Israel. Tanpa saya, tidak akan wujud Israel kerana tiada presiden lain yang sanggup melakukan apa yang saya lakukan,” katanya.

Kedua-dua pemimpin itu dilaporkan beberapa kali berbeza pandangan berhubung keengganan Israel mengehadkan operasinya terhadap Hizbollah di Lubnan, sedangkan usaha menghentikan permusuhan merupakan antara tuntutan utama Iran.

Presiden AS, termasuk Trump, jarang mengkritik secara terbuka taktik ketenteraan Israel.

Bagaimanapun, tiada petunjuk kenyataan Trump itu akan diterjemahkan kepada dasar baharu yang boleh memaksa Israel mengubah taktik ketenteraannya bagi memberi perlindungan lebih besar kepada orang awam.

Tidak lama selepas kenyataan itu dibuat, akaun media sosial rasmi Rumah Putih yang lazimnya memuat naik petikan ucapan presiden turut berkongsi video kenyataan berkenaan.

Rumah Putih tidak menjelaskan sebab video itu dimuat naik, namun menegaskan hubungan Trump dan Netanyahu kekal kukuh serta menyifatkan Pasukan Pertahanan Israel (IDF) sebagai rakan luar biasa.

Israel berdepan kritikan hebat daripada banyak negara, khususnya susulan serangan di Gaza yang mengorbankan kira-kira 73,000 penduduk, kebanyakannya orang awam.

Israel sering mendakwa pihaknya tidak pernah menyasarkan orang awam sebaliknya menuduh kumpulan pejuang seperti Hamas serta Hizbollah yang sering menggunakan orang awam sebagai perisai manusia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×