Pasaran buruh mula sederhana, pengangguran naik ke 3.0%

Pasaran buruh mula sederhana, pengangguran naik ke 3.0%

MBSB Research mengekalkan unjuran kadar pengangguran Malaysia pada 3.0 peratus tahun ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pasaran buruh Malaysia mula menunjukkan tanda-tanda penyederhanaan apabila kadar pengangguran meningkat semula kepada 3.0 peratus pada April 2026, menurut MBSB Research.

Jumlah kekosongan jawatan terus merosot pada Mei 2026, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap peluang pekerjaan, khususnya dalam kalangan belia dan graduan.

Firma penyelidikan berkata, kadar pengangguran meningkat daripada 2.9 peratus pada Mac 2026 selepas kekal pada paras tersebut selama lima bulan, dengan jumlah penganggur bertambah kepada 512,000 orang berbanding 509,000 orang pada bulan sebelumnya.

Menurutnya, pertumbuhan guna tenaga kekal mendatar pada kadar 1.2 peratus tahun ke tahun, manakala pertumbuhan tenaga buruh menyusut 0.1 peratus, mencerminkan momentum pengambilan pekerja yang semakin perlahan.

“Kadar pengangguran belia berusia antara 15 hingga 24 tahun kekal tinggi pada 10.2 peratus, menggambarkan cabaran berterusan dalam proses peralihan graduan ke alam pekerjaan serta persaingan sengit mendapatkan pekerjaan baharu.

“Pada masa sama, permintaan tenaga kerja turut menunjukkan kelemahan apabila jumlah kekosongan jawatan berkurangan sebanyak 7,500 kepada 114,500 pada Mei 2026 berbanding 122,000 pada April 2026.

“Sektor perkhidmatan mencatatkan penurunan terbesar apabila jumlah kekosongan jawatan merosot kepada 65,700 berikutan pengurangan aktiviti dalam subsektor penginapan, makanan dan minuman serta kewangan dan insurans.

“Sektor pembuatan dan pembinaan bagaimanapun masih mencatatkan peningkatan sederhana dalam peluang pekerjaan, masing-masing bertambah sebanyak 800 dan 200 jawatan,” katanya dalam satu nota penyelidikan. 

MBSB Research berkata, aktiviti pembuatan global yang perlahan turut menjejaskan sentimen pengambilan pekerja apabila Indeks Pengurus Pembelian (PMI) pembuatan Malaysia susut kepada 49.0 mata pada Mei 2026.

“Kelembapan tempahan baharu dan eksport menyebabkan banyak syarikat mengambil pendekatan lebih berhati-hati dalam menambah tenaga kerja walaupun keyakinan perniagaan menunjukkan sedikit peningkatan.

“Ketegangan geopolitik, gang­guan perdagangan global serta pelaksanaan tarif yang lebih meluas berpotensi meningkatkan kos operasi dan mendorong majikan mengambil pendekatan tunggu dan lihat.

“Walaupun berdepan cabaran luaran, kami mengekalkan unjuran kadar pengangguran Malaysia pada 3.0 peratus bagi keseluruhan tahun ini, tidak berubah berbanding tahun sebelumnya,” katanya.

Firma itu berpandangan pertumbuhan pekerjaan dalam sektor perkhidmatan domestik, perbelanjaan pengguna yang kekal kukuh serta pelaksanaan pelbagai dasar kerajaan akan terus menyokong penciptaan pekerjaan.

Selain itu, transformasi sektor elektrik dan elektronik (E&E) yang dipacu kecerdasan buatan (AI) serta teknologi semikonduktor termaju dijangka memastikan permintaan tenaga kerja kekal mampan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN